‘PINTU MASUK’ SEKAT PENCEROBOH - Utusan Malaysia

‘PINTU MASUK’ SEKAT PENCEROBOH

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH: SEBAGAI orang berpengalaman tentang selok belok isu-isu keselamatan di Sabah, tidak lengkap rasanya kalau tidak bertanyakan hal ini kepada bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Bakri Zinin.

Memuatkan artikel berkaitan…

Lebih-lebih lagi apabila bercakap pasal Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom)  yang diwujudkan 7 Mac 2013  merangkumi kawasan pantai timur negeri itu termasuk Kudat, Tawau, Kunak, Sandakan dan Lahad Datu, sepanjang 1,400 kilometer.
Ini memandangkan Mohd. Bakri, 63, yang bersara pada 2014, pernah menjadi Ketua Polis di daerah Kudat, Sandakan,  Lahad Datu selain Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah.
Dan apabila Ketua Menteri Sabah yang baharu, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal membangkitkan pada Khamis lalu keperluan aset keselamatan di Sabah ditempatkan di lokasi sesuai dan lebih memerlukan tahap kawalan keselamatan tinggi, wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL kelmarin mendapatkan pandangan Mohd. Bakri mengulas  isu-isu keselamatan di negeri  itu.

 

Utusan: Berkesanlah pe­wujudan Esscom dalam menangani isu pencerobohan Sabah?
MOHD. BAKRI:
  Ia berfaedah dari sudut agihan kawasan-­kawasan itu untuk memastikan ke­selamatan di timur Sabah dapat diselia baik.
 Pada masa lalu sebelum wujudnya Esscom, daerah-daerah di pesisiran pantai diselimuti kebimbangan dari sudut keselamatan keluasan perairan. Dengan  aset yang diberikan begitu terhad, jadi penggunaannya cuma tertumpu pada sesuatu tempat tertentu, tidak menyeluruh. De­ngan adanya Esscom,  pengagihan dalam menguruskan keselamatan kawasan tersebut teratur.

Kawasan Pantai Timur Sabah ini luas sepanjang 1,400 kilo­meter, mampukah dikawal?
Kalau berlaku ombak besar, kita di Sabah tidak akan nampak apa berlaku di seberang (Filipina). Maksudnya, kita tak dapat buat liputan (kawalan keselamatan) 100 peratus kerana bukan sahaja jajaran pantai timur ini luas tetapi kawasan kepulauannya juga terlalu banyak. Dari sudut pengalaman saya, kita perlukan banyak aset yang praktikal untuk berhadapan bot-bot laju kumpulan dari seberang.

Ada ‘laluan tikus’ tak di pantai timur Sabah?
Terlalu banyak kerana pendaratan boleh dilakukan di mana-mana tempat tanpa sekatan. Pulau-pulau milik kita menjadi tempat berteduh kumpulan-kumpulan bersenjata ini yang masih belum dikawal selia dengan baik.

Boleh Tan Sri kongsi pengalaman mengesan penculik dan bagaimana mereka boleh terlepas?
Dari pengalaman sa­ya, perlu didapatkan lebih banyak maklumat risikan dari seberang (Filipina) kerana apabila insiden berlaku, kita tak boleh arahkan aset  keluar serentak.  
Contohnya, ada kalangan kum­pulan bersenjata ini turut mempunyai talian kekeluargaan de­ngan penduduk di Lahad Datu, Kunak dan Kudat. Jadi, jika berlaku rompakan, kita boleh dapatkan maklumat perisikan tentera di seberang untuk kenal pasti kumpulan mana terlibat.

Mengimbas pencerobohan di Lahad Datu pada 2013, ada kelihatankah lompang atau kelemahan di pihak kita?
Semasa kejadian itu,  saya bertugas sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah di Bukit Aman. Pada hemat saya,  pihak asing yang sudah masuk ke kawasan kita menggunakan senjata, kita tak boleh kompromi dari sudut membincangkan suatu perkara yang boleh menjejaskan tindakan kita.
Ini kerana mereka ini akan mengkaji trend tindakan kita le­bih awal dan jika tahu trend kita, mereka a­kan study dengan am­­bil masa berbincang, sekali gus menjejaskan pihak kita untuk ambil tindakan. Jika diimbas kembali, semasa itu, perbincangan de­ngan penceroboh terlalu panjang malah ditetapkan pula tarikh untuk mereka berundur. Inilah perkara yang perlu dikaji tentang doktrin pencerobohan jika berlaku.

Jika terjadi insiden serupa di Filipina, apa tindakan Manila?
Tiada kompromi.

Apa cadangan Tan Sri untuk menyekat pencerobohan kumpulan bersenjata ini dari berulang?
Anda tidak boleh sekat perge­rakan orang luar ke Sabah. Maka perlu difikirkan untuk iktiraf laluan tertentu dari pulau-pulau di seberang sana bagi membolehkan mereka datang melawat saudara-mara mereka secara sah menggunakan pasport.
Sebelum inipun perdaga­ngan pertukaran barang telah berlaku sejak zaman berzaman dari kepulauan Filipina ke Labuan dan Sandakan. Umpamanya nak beli beras, gula, tong gas memasak dan barang keperluan ha­rian, takkanlah mereka hendak ke Zamboanga yang jauh jaraknya. Paling dekatpun dari Bakungan Besar (didiami kira-kira 500 keluarga) adalah di Davao, tapi masih jauh. Dan jarak paling hampir adalah Bakungan Kecil (dikenali Taman Pulau Penyu – kawasan penetasan penyu) di Sandakan  yang hanya ambil masa 30 minit. Nak beli tong gas lebih hampir di sini dari tanah besar mereka. Maka kalau disekat, pencerobohan pasti akan berlaku, malah kita galakkan pula kemasukan pendatang tanpa izin (PATI).
Jadi, jika mereka ini datang secara sah dan jika dapat tangkap mereka kerana tinggal lebih masa di sini, kita boleh mengatakan kepada Filipina, lihat ini rakyat anda.  Justeru, kalau kita iktiraf laluan tertentu, kita boleh buka kawasan pendaratan yang sah seperti mana dengan Thailand melalui pintu Bukit Kayu Hitam. Sekarang, apabila kita tangkap PATI, kerajaan Filipina tidak mengaku itu rakyat mereka.
Laluan atau pintu masuk secara sah ini boleh dibuka di Sandakan, Tawau dan Lahad Datu tetapi perlu kawalan mantap di sini.
Realitinya, dengan perairan Laut China Selatan dan Laut Sulu yang begitu luas, keperluan untuk dirikan benteng agak sukar sama sekali.
 

Apa harapan Tan Sri kepada kerajaan baharu Sabah terutama aspek keselamatan Sabah?
Sabah amat memerlukan kemajuan industri pelancongan berlandaskan kepulauan ini. Kawasan peranginan Sabah popular di dunia seperti Pulau Sipadan, kawasan penetasan penyu di Sandakan selain Selingan, Kudat, Lahad Datu dan Kunak.  
Di Sandakan, kawasan ini dulunya begitu maju dari sudut pelancongan. Disebabkan satu insiden di pesisiran kawasan tersebut, industri  pelancongannya merosot. Saya fikir perlu ada pendekatan  untuk memastikan kawasan ini diselia dengan baik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN