Pintar, Hijau, Bersih tagline baharu ganti Berkat, Tepat, Cepat - Utusan Malaysia

Pintar, Hijau, Bersih tagline baharu ganti Berkat, Tepat, Cepat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA 23 Mei – Kerajaan negeri Pakatan Harapan hari ini secara rasmi memaklumkan cogan kata atau tagline baharu untuk negeri Melaka iaitu Pintar, Hijau, Bersih akan diguna pakai bagi menggantikan tagline sebelum ini iaitu Berkat, Tepat, Cepat.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, keputusan memilih cogan kata baharu itu dicapai dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri kali kedua yang diadakan di Seri Negeri hari ini.

“Kita sudah mencapai hasil muafakat dalam mesyuarat kali ini dan antara ketetapan yang diperolehi adalah penggunaan tagline Melaka yang lama iaitu Berkat, Tepat, Cepat akan ditukar kepada Pintar, Hijau, Bersih,” katanya dalam sidang akhbar itu di sini sebentar tadi.

Dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri yang pertama minggu lalu, Adly pernah memaklumkan bahawa kerajaan negeri akan melaksanakan tiga inisiatif iaitu Pintar, Hijau dan Bersih (PHB) bagi terus memastikan Melaka sebagai sebuah negeri terkehadapan dalam melaksanakan usaha teknologi hijau, penjagaan alam sekitar dan menjaga kebersihan.

Sementara itu beliau berkata, sebagai langkah menjimatkan kos perbelanjaan, kerajaan negeri mengarahkan semua agensi khususnya yang terlibat dalam bidang pelancongan agar lebih mengutamakan program-program pelancongan di negara daripada menyertai atau mengadakan lawatan dan program pelancongan di luar negara.

Tegas beliau, langkah penjimatan itu membabitkan perbelanjaan di semua jabatan dan agensi dikehendaki melaksanakan amalan perbelanjaan berhemah terutamanya bagi agensi yang sering mengadakan program di luar negara bagi mempromosikan pelancongan.

“Kerajaan negeri menyifatkan perbelanjaan hari ini harus diberikan keutamaan kepada promosi pelancongan peringkat negeri berbanding lawatan ke luar negara dan semua ini harus kita nilai semula,” jelas beliau. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN