IPOH – Pakatan Harapan (PH) Perak yakin segala janji yang ditawarkan dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu dapat dilaksanakan pada tahun ini.
Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu berkata, beliau serta barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) telah mengadakan perbincangan mengenai perkara tersebut.
“Kita perlu menunaikan segala tanggungjawab dan janji dalam tawaran yang kita buat pada PRU-14 lepas. Pada mesyuarat Exco lepas, kita telah pun membincangkan tentang manifesto PH.
“Saya juga berbincang dengan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mohd. Ghazali Jalal dan beliau memberi komitmen kepada kerajaan untuk bersama membantu melaksanakan segala tawaran atau janji PH pada tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Iftar Perdana yang dihadiri Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim di perkarangan kediaman datuknya di Gugusan Manjoi di sini hari ini. – Bernama










