SAUDARA PENGARANG, TAHNIAH kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Pakatan Harapan kerana menjadi pelindung rakyat Malaysia masa kini.
Rakyat Malaysia mengharapkan kehidupan yang lebih baik tambahan dengan janji-janji pada manifesto yang dijanjikan.
Rakyat Malaysia amat terkejut dengan pengumuman penamatan kontrak seramai 17,000 penjawat awam lantikan politik bersempena pula dalam bulan yang mulia ini.
Saya merasa sedih dengan berita ini kerana baru sahaja seminggu memegang tampuk pemerintahan Dr. Mahathir tanpa memikirkan kesusahan yang akan dialami oleh penjawat-penjawat awam tersebut. Mungkin antara mereka sudah membeli kenderaan, membeli rumah dan mempunyai anak yang harus ditanggung.
Walaupun mereka penjawat awam lantikan politik terdahulu tidak semestinya mereka tidak menyokong kerajaan sekarang ini . Sepatutnya sebagai pelindung rakyat, Dr. Mahathir tidak seharusnya bertindak secepat kilat sedemikian.
Tun seharusnya mengkaji apakah tugas-tugas mereka ini benar-benar mengancam negara.
Siapalah mereka untuk menjatuhkan sebuah kerajaan. Mereka hanya perlu perhatian, belas kasihan untuk sebuah kehidupan.
Tun boleh mengubah tugas-tugas mereka ke arah biasa tidak kepada politik. Adalah amat sukar zaman sekarang untuk mencari kerja.
Saya sebagai rakyat biasa, berharap Tun yang telah kami pilih sebagai pelindung rakyat dapat mempertimbangkan pemberhentian penjawat awam lantikan politik tersebut demi kebaikan mereka dan rakyat Malaysia amnya.
NAS
Ipoh, Perak











