Pertimbang semula penamatan perkhidmatan guru mengaji di Kelantan - Utusan Malaysia

Pertimbang semula penamatan perkhidmatan guru mengaji di Kelantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 23 Mei – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) diminta mempertimbangkan semula keputusan menamatkan perkhidmatan 3,075 penggerak masyarakat di seluruh negeri ini berkuat kuasa minggu lalu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kumpulan tersebut sebenarnya merupakan guru-guru yang mengajar al-Quran di kampung-kampung.

Jawatan tersebut kata beliau, diwujudkan sejak lebih 20 tahun lalu bagi memperkasa agenda dakwah di Kelantan, khususnya dalam memantapkan pengajian al-Quran dalam kalangan masyarakat.

“Kita khuatir kegiatan dakwah di negeri ini mungkin terencat selepas ini. Nama sahaja penggerak masyarakat, tetapi tugas sebenar mereka ialah ajar mengaji di kampung-kampung lima kali seminggu.

“Elaun diterima pula cuma RM400 sebulan. Itu pun sudah di bawah paras kemiskinan. Apabila ditamatkan kontrak, mereka mungkin terpaksa memohon bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.

Beliau ditemui selepas Majlis Ihya Ramadan dan berbuka puasa Badan Perhubungan UMNO Kelantan dengan kerjasama Majlis Badan Bukan Kerajaan (NGO) Kelantan di Pejabat UMNO negeri, di sini malam ini.

Mustapa berkata, dalam majlis sama, pihaknya turut mengadakan solat hajat memohon Allah SWT mempermudahkan urusan termasuk melembutkan hati kerajaan PH supaya menarik semula keputusan itu.

Utusan Online sebelum ini melaporkan kira-kira 3,000 kakitangan lantikan politik Barisan Nasional (BN) menerusi Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan ditamatkan perkhidmatan berkuat-kuasa 15 Mei lalu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN