KUALA TERENGGANU 23 Mei – Kalangan mereka yang layak namun tercicir peluang mendapatkan bantuan Dana Raya 2018 masih boleh mengemukakan permohonan melalui dalam talian yang akan dibuka semula selama seminggu mulai esok.
![]() |
|
SATIFUL BAHARI MAMAT
|
Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat berkata, penyaluran bantuan itu akan diselesaikan sebelum berakhirnya Ramadan agar penerima menyambut Aidilftri dalam suasana lebih menceriakan.
“Mana-mana individu yang telah membuat permohonan sebelum ini tidak perlu membuat permohonan baharu. Cuma bagi mereka yang tercicir sahaja atau terlupa untuk mendaftar,” ujarnya.
Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas selesai mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri di Wisma Darul Iman, hari ini.
Permohonan boleh dibuat dengan melayari laman sesawang sama iaitu http://danattb.terengganu.gov.my.
“Bagi pemohonan yang tidak pandai mengendalikan komputer boleh juga ke Pusat Bestari.com atau ke Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri yang berdekatan di kawasan masing-masing untuk dibantu,” ujarnya.
Satiful berkata, bagi permohonan baharu, mereka tidak perlu perlu mendapatkan perakuan daripada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (J3K) dan mengurangkan karenah birokrasi.
Syarat kelayakan juga masih sama iaitu pemohon yang berpendapatan isi rumah tidak melebihi RM3,000 sebulan serta mestilah anak negeri atau pemaustatin dan perlu mendaftar sebagai pengundi.
Mereka yang berstatus bujang berusia melebihi 40 tahun dan berpendapatan bawah RM1,500 juga layak memohon dengan kadar bantuan RM300 hingga RM400.-UTUSAN ONLINE












