Penyokong parti dilarang berhimpun, berarak selepas tamat mengundi  - Utusan Malaysia

Penyokong parti dilarang berhimpun, berarak selepas tamat mengundi 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA – Para penyokong parti di seluruh negara dilarang menganjurkan sebarang perarakan atau perhimpunan berkaitan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada malam ini.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, larangan tersebut dibuat bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini termasuk provokasi daripada penyokong parti-parti yang bertanding.

“Saya harap para penyokong dapat menunggu keputusan (pilihan raya) di rumah masing-masing kerana itu lebih selesa. 

“Polis tidak membenarkan sebarang perhimpunan atau perarakan sama ada untuk meraikan kemenangan atau apa juga aktiviti berkaitan dengan PRU. Perkara ini telah diberi perhatian dan semua Ketua Polis negeri juga telah dimaklumkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Baru di sini hari ini. 

Turut hadir Ketua Polis Melaka, Datuk Abd. Jalil Hassan.

Menurut Zulkifli, setakat 2 petang tadi, proses pengundian di semua pusat memgundi di seluruh negara berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.

Katanya, pihaknya memberi jaminan  mempunyai anggota dan pegawai yang mencukupi untuk mengiring peti-peti undi ke pusat pengiraan undi selepas tamat tempoh mengundi pada pukul 5 petang.

Dalam perkembangan lain, Zulkifli memberitahu, setakat pukul 2 petang pihaknya tidak menerima sebarang laporan polis berhubung calon parti yang menerima panggilan telefon daripada individu tidak dikenali dipercayai dari luar negara.

“Mana-mana calon yang menerima panggilan dinasihatkan membuat laporan bagi membolehkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia melakukan siasatan dan sekiranya terdapat unsur jenayah kes akan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya. – K! ONLINE 
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×