KOTA MARUDU – Polis sedang mengesan pemburu haram yang dipercayai melepaskan tembakan menggunakan senapang patah sehingga menyebabkan seorang penoreh getah cedera parah di Kampung Maringgan di Pitas semalam.
Dalam kejadian pada pukul 11 pagi itu, mangsa, Justin Doimin @ Doiman, 43, mengalami kecederaan pada bahagian muka, leher, dada dan bahu sebelah kiri kesan tembakan tersebut.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Mohd. Izaan Abdullah berkata, hasil siasatan mendapati sebelum insiden mangsa yang sedang menoreh di kebun getah majikannya terdengar satu bunyi letupan dan secara tiba-tiba dia berasa sakit lalu pengsan selama tiga jam.
“Bagaimanapun, kejadian itu hanya disedari sebuah keluarga yang sedang bermandi-manda di sungai berhampiran selepas terdengar jeritan mangsa meminta pertolongan pada pukul 4 petang.
“Lalu, saksi berkenaan menuju ke arah mangsa yang terbaring dan mengerang kesakitan sebelum bertindak meminta bantuan daripada penduduk di Kampung Suang Duyung untuk menghantar lelaki itu ke Hospital Pitas,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Tambah Mohd. Izaan, mangsa seterusnya akan dihantar ke Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut.
“Pihak polis kini giat memburu suspek yang disyaki mendatangkan kecederaan kepada mangsa bagi membantu siasatan,” jelasnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 37 Akta Senjata 1960. – K! ONLINE










