KOTA MARUDU 30 Mei – Polis sedang mengesan seorang pemburu haram yang dipercayai melepaskan tembakan menggunakan senapang patah mengakibatkan seorang penoreh getah cedera parah di Kampung Maringgan di Pitas, di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 11 pagi itu, mangsa, Justin Doimin @ Doiman, 43, mengalami kecederaan pada bahagian muka, leher, dada dan bahu sebelah kiri kesan tembakan tersebut.
Ketua Polis daerah, Superintenden Mohd. Izaan Abdullah berkata, hasil siasatan mendapati sebelum kejadian mangsa sedang menoreh di kebun getah majikannya serta terdengar satu bunyi letupan lalu secara tiba-tiba dia berasa sakit dan pengsan selama tiga jam.
“Bagaimanapun, kejadian itu hanya disedari sebuah keluarga yang sedang bermandi-manda di sungai berhampiran selepas terdengar jeritan mangsa meminta tolong pada pukul 4 petang.
“Saksi berkenaan menuju ke arah mangsa yang mengerang kesakitan sebelum bertindak meminta bantuan penduduk di Kampung Suang Duyung untuk menghantar lelaki itu ke Hospital Pitas,” katanya ketika di sini hari ini.
Mohd. Izaan menambah, mangsa seterusnya dihantar ke Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut.
“Pihak polis kini giat memburu suspek yang disyaki mendatangkan kecederaan kepada mangsa bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 37 Akta Senjata 1960,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE










