KLANG 23 Mei – Tiga lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes penemuan mayat seorang pengawal keselamatan dipercayai dibunuh berhampiran sebuah padang bola Ventoran, Pelabuhan Klang di sini pagi semalam.
Ketiga-tiga lelaki warga tempatan berusia 40 hingga 57 tahun itu ditahan sekitar daerah ini antara pukul 3 petang hingga 10 malam hari yang sama.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pada pukul 8.30 pagi, seorang jurutera syarikat komunikasi telah menjumpai mayat di luar pagar pencawang dalam keadaan terbaring.
Katanya, hasil siasatan telah membawa kepada penahanan ketiga-tiga suspek dan dipercayai motif kejadian berkaitan dengan dadah kerana mangsa merupakan penagih tegar.
“Selain menahan ketiga-tiga suspek, kita turut merampas beberapa barangan bersama suspek termasuk beg tangan, dua bilah pisau serta telefon bimbit.
“Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan,”katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sementara itu, Shamsul Amar berkata, hasil siasatan terhadap mangsa berusia 43 tahun mendapati mempunyai enam rekod jenayah lampau berkaitan bunuh, dadah, mendatangkan kecederaan dan Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).
“Hasil bedah siasat yang dijalankan ke atas mayat mangsa di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini mendapati kematian mangsa adalah akibat tikaman oleh senjata tajam tepat pada jantungnya.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE











