KUALA LUMPUR 23 Mei – Pegerakan Pemuda MIC Kebangsaan mencadangkan agar jawatan tertinggi parti India terbesar itu tidak dipertandingkan pada pemilihan presiden parti itu akhir bulan Julai ini bagi mengelakkan sebarang perpecahan dalam parti.
Sambil menyuarakan sokongan kepada Naib Presidennya, Tan Sri S. A. Vigneswaran yang mengumumkan untuk bertanding jawatan itu, ketua pergerakan itu, Datuk C. Sivarraajh berkata, pendirian itu bagi memantapkan perjalanan parti itu dan seterusnya memperbaiki kelemahan yang wujud.
“Bagaimanapun saya tidak mengongkong mana-mana pihak yang berhasrat untuk merebut jawatan presiden itu,” katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat Pemuda MIC Kebangsaan yang pertama selepas kekalahan Barisan Nasional (BN) di ibu pejabat parti itu, di sini hari ini.
Pengumuman Vigneswaran yang juga Yang Dipertua Dewan Negara itu dibuat selepas Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam baru-baru ini mengesahkan beliau tidak akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti yang dijadualkan berlangsung Julai ini.
Keputusan tersebut adalah susulan kekalahan teruk parti itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang menyaksikan mereka hanya memenangi dua daripada sembilan kerusi Parlimen. – UTUSAN ONLINE










