KLUANG 29 Mei – Seorang lelaki berusia 23 tahun dicekup polis kerana disyaki mencuri pakaian dalam wanita di Taman Sri Impian, di sini pagi semalam.
Suspek yang dipercayai tinggal di kawasan perumahan sama berjaya ditahan orang ramai kira-kira pukul 4.30 pagi.
Pemangku Ketua Polis daerah, Deputi Superintenden Abdul Razak Abdullah Sani berkata, suspek dipercayai mengambil tujuh helai coli, tiga baju T dan sehelai seluar panjang.
“Ketika tiba di tempat kejadian, suspek meletakkan pakaian tersebut di hadapan sebuah rumah dan cuba mengambil pula pakaian dalam wanita yang dijemur di rumah sebelah.
“Namun, perbuatan suspek tidak berhasil apabila pemilik rumah pertama menyedari perkara itu dan segera memberkasnya sebelum mengejutkan jirannya,” katanya, di sini sebentar tadi.
Abdul Razak berkata, suspek kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri. – UTUSAN ONLINE











