KUALA LUMPUR 9 Mei – Datuk Seri Najib Tun Razak mengecam sekeras-kerasnya perbuatan terkutuk pihak pembangkang dengan terus menyebarkan fitnah dan memburuk-burukkan Surahanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Terdesak sangat sampai sanggup buat perbuatan terkutuk sebarkan fitnah macam ini, jalan cerita semua sama lokasi sahaja berbeza. Tak habis-habis #TsunamiPHitnah! pic.twitter.com/R1knubLuDD
— Mohd Najib Tun Razak (@NajibRazak) May 9, 2018
Perdana Menteri berkata, tindakan mereka itu amat terdesak sehingga sanggup mengitar semula masalah yang direka cipta semasa hari pengundian dengan hanya mengubah lokasi kejadian.
“Terdesak sangat sampai sanggup buat perbuatan terkutuk sebarkan fitnah macam ini, jalan cerita semua sama lokasi sahaja berbeza. Tak habis-habis #TsunamiPHitnah!” katanya melalui laman Twitter beliau, hari ini.
Berita palsu berhubung masalah hari pengundian mula disebarkan dalam media sosial semata-mata bagi menunjukkan kelemahan SPR yang didakwa cuba merosakkan kertas undi apabila mereka mengesan tidak ada cap rasmi suruhanjaya itu.
Mereka cuba menimbulkan panik dalam kalangan masyarakat dengan mendakwa setiap kertas undi yang tidak memaparkan cap berkenaan n dianggap sebagai kertas undi tidak sah.
Berita palsu yang dikesan itu pernah ditularkan dalam PRU-13 menggunakan jalan cerita yang sama tetapi sekadar mengubah nama tempat ia berlaku.
Sedangkan, SPR telah mengesahkan bahawa mana-mana kertas yang gagal dicap selagi dikeluarkan secara sah tidak akan ditolak oleh ketua tempat mengundi.
Menurut suruhanjaya itu, jika berlaku kesilapan, ia merupakan kes terpencil dan para pengundi tidak perlu bimbang berhubung perkara itu.
Namun, berdasarkan semakan yang dikatakan berlaku di salah satu pusat mengundi, SPR mendapati tidak berlaku seperti ditularkan. – UTUSAN ONLINE










