Peliharalah Perlembagaan negara - Utusan Malaysia

Peliharalah Perlembagaan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG, TAHNIAH kepada kerajaan baharu pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Barisan kepemimpinan kali ini menggalas amanah amat berat membawa suara 32 juta rakyat Malaysia.

Ada yang beranggapan pada hari ini, masyarakat Malaysia memulakan hari yang baharu dengan udara perubahan segar. Mereka telah menyatakan hasrat melalui proses amalan demokrasi dengan membuang undi.

Namun, perlulah diambil perhatian bahawa berpolitik dan mentadbir negara adalah dua perkara berbeza. Rakyat Malaysia berharap bahawa kerajaan kali ini sudah bersedia, bukan sahaja untuk menjalankan kehidupan seperti biasa, namun mereka juga berharap agar dapat melihat Malaysia ‘terbang’ tinggi bersama-sama negara maju di atas pentas dunia.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sejak dari kecil lagi, sistem pendidikan di Malaysia telah mengajar kita untuk bersaing dan menjadi pemimpin akan tetapi penekanan kurang diberikan dalam usaha untuk menerima kekalahan dan menjadi orang yang dipimpin.

Oleh itu, rakyat dapat melihat pergeseran, bukan sahaja dalam kalangan parti politik yang wujud dalam negara, malah pergeseran tersebut dapat dilihat di mana-mana termasuk dalam skop lebih kecil seperti di institusi kekeluargaan. Sudah sampai masanya kita belajar untuk menjadi orang yang dipimpin dan juga belajar menerima kekalahan. Kata orang-orang tua, di dalam sebuah kapal, kita tidak boleh ada dua nahkoda. Selalunya pergeseran berlaku apabila terdapat beberapa individu dominan di dalam sebuah institusi yang sukar menerima pandangan dari yang lain.

Selain itu, jika sebelum ini, rakyat hanya meneropong dari jauh perjalanan kerajaan di negara ini, namun kali ini, pentadbiran kerajaan baharu akan diletakkan di bawah mikroskop kerana ini adalah amanah dan hasrat rakyat.

Peliharalah Perlembagaan negara. Jadikanlah Malaysia hebat kembali. Pada kali ini jangan pinggirkan majoriti senyap dalam kalangan rakyat. Libatkanlah sekali rakyat dalam proses membuat keputusan kerana sebarang polisi kerajaan akan menyentuh kehidupan seharian rakyat.

Kali ini, rakyat berharap agar kerajaan baharu tidak lagi bertatih, kami mahu kerajaan baharu ini terus berlari bekerja keras demi rakyat kerana adanya kerajaan baharu ini adalah hasil undian rakyat. Terdapat ramai bijak pandai yang kecewa kerana mereka merasakan idea mereka hanya terbiar tanpa digunakan demi kepentingan negara. Mereka ini adalah golongan yang hidup dan matinya untuk negara namun telah sekian lama terpinggir tanpa diberikan perhatian. Sambutlah tangan mereka dengan menebarkan tali perpaduan dan persahabatan kerana mereka ingin berkhidmat untuk negara.

Selain itu, berikanlah perhatian kepada penyampaian dan keberkesanan kerajaan. Perlu diwujudkan satu unit atau jawatan khas untuk memantau perkara ini. Janganlah jadikan rakyat sebagai penerima polisi. Libatkan suara rakyat dan kemudian perbaiki berdasarkan keputusan unit ini dan bentangkan kepada rakyat secara berkala. Rakyat mahu lihat suaranya didengar dan mahu terlibat dalam proses pentadbiran negara.

Selain dari itu, rakyat perlu dididik mengenai polisi-polisi ekonomi yang akan dan sedang digunakan oleh kerajaan kerana kelompangan dalam memberikan maklumat tepat, akan menyebabkan berlakunya penularan berita-berita tidak tepat.

MOHAMMAD NOORIZZUDDIN NOOH

Presiden Pertubuhan Cakna Untuk Insan Terbilang Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN