Nur Eli Ellina dedah kepincangan - Utusan Malaysia

Nur Eli Ellina dedah kepincangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 21 Mei – Bekas atlet gimnastik negara, Nur Eli Ellina Azmi tampil menyuarakan ke­pincangan yang berlaku ketika era kepemimpinan bekas Menteri Belia Sukan dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Menerusi kenyataan media sosial Twitter, Nur Eli Ellina mendakwa, dia merupakan antara beberapa atlet yang tidak menerima bayaran elaun selama enam bulan sekali gus menyebabkan mereka mengambil tindakan drastik dengan bersara awal.

Ellina juga menjelaskan sebab utama dia tidak mendedahkan masalah yang dihadapi sebelum ini kerana bimbang bakal berdepan tindakan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya salah seorang atlet yang dah kena sampai ambil keputusan untuk bersara sebab tak dapat elaun selama enam bulan tapi kena jalani latihan enam kali seminggu.

“Itu salah satu punca dan banyak lagi sebenarnya. Tak boleh bersuara, nanti nama kena senarai hitam dengan persatuan, tak pun kena buang je terus,” katanya menerusi muat turun status di laman Twitter peribadinya @ellinaazmi95.

Situasi itu telah mendapat maklum balas Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang berjanji akan menjadi orang tengah untuk menyiasat secara terperinci tentang apa yang berlaku.

“Mana boleh saya bantu saya akan bantu,” katanya yang membalas tweet yang dimuat naik oleh Ellina.

Sementara itu, Majlis Sukan Negara (MSN) dalam satu kenyataan hari ini menafikan atlet-atlet tersebut diabaikan dan tidak diberikan elaun.

Badan pengurusan sukan itu menjelaskan bahawa program Kita Juara yang disertai Nur Eli Ellina tamat sejurus Sukan SEA 2017.

“Proses pemilihan semula pasukan kebangsaan telah dijalankan MSN dan Persatuan Sukan Kebangsaan dan atlet-atlet berkenaan gagal membuktikan mereka layak untuk diserapkan semula ke program Sukan Komanwel dan Asia 2018,” maklum kenyataan tersebut.

Sebaik dimaklumkan kepada atlet-atlet tersebut bahawa mereka tidak disenaraikan, mereka maklum dengan situasi dan mengambil keputusan bersara.

MSN meminta atlet dan bekas atlet yang mempunyai masalah dengan karier tampil dan merujuk ke cawangan baharu ditubuhkan, program MACE (Pendidikan dan Karier Atlet Malaysia) bagi membantu daripada segi kebajikan, perkembangan kerjaya dan pendidikan bagi mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN