KUALA LUMPUR – Pelakon Nora Danish memberitahu bahawa perang antara dirinya dengan pelakon Fasha Sandha berikutan kes sindir- menyindir yang berlaku tahun lalu hampir menemui noktahnya tidak lama lagi dan dia sedang menunggu perintah Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor.
”Berkenaan kes saman fitnah saya terhadap dia, saya akan mengeluarkan kenyataan sebaik sahaja menerima perintah mahkamah dalam masa terdekat. Tunggu sahaja masanya,” ujarnya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa dan pelancaran Skuad Selebriti Shopee di Hotel Grand Hyatt di sini semalam.
Perkara berkenaan dijelaskan Nora, 39, berikutan terdapat laporan sebuah portal yang mendakwa dia dan Fasha bakal mengakhiri perang hubungan mereka yang memakan masa bertahun-tahun selepas kedua-duanya dilihat hadir di Pejabat Mediasi, Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Selasa lalu.
Tambah pelakon filem Polis Evo itu lagi, dia mengharapkan keputusan yang diterima nanti adalah sebuah pengakhiran yang terbaik buat kedua-dua pihak.
“Apa sahaja yang akan saya beritahu kelak, itulah pengakhirannya. Saya positif tentangnya (keputusan),” katanya.
Tahun lalu, hubungan yang sedia dingin antara kedua-kedua aktres itu kembali hangat selepas Fasha mendakwa dia dihalau oleh Nora pada sebuah majlis pertunjukan fesyen yang dihadiri mereka.
Susulan dakwaan itu, Nora kemudiannya mengadakan sebuah sidang akhbar bagi menjelaskan keadaan sebenar selain memberitahu akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Fasha kerana telah menuduhnya secara melulu serta telah menjatuhkan reputasi nama dan perniagaannya. – K! ONLINE











