Najib umum kedudukannya dalam UMNO dan BN selepas bercuti - Utusan Malaysia

Najib umum kedudukannya dalam UMNO dan BN selepas bercuti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengumumkan keputusan mengenai kedudukan beliau sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden UMNO pada minggu depan selepas pulang daripada bercuti dalam negara.

Najib menerusi kenyataan akhbar di laman Facebooknya berkata, beliau akan mengambil kira kemerosotan sokongan rakyat serta pandangan pemimpin serta ahli parti di semua peringkat selepas kekalahan BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) baru-baru ini.

Menurutnya, keputusan yang dibuat adalah untuk memastikan UMNO dan BN kembali kuat dan mendapat semula kepercayaan rakyat pada masa akan datang.

Terdahulu, Najib di laman Twitter memberitahu bahawa beliau akan terbang ke luar negara untuk bercuti rehat dan meluangkan masa bersama keluarga selepas kekalahan teruk BN kepada gabungan pembangkang.

Bagaimanapun, beliau dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dilarang berbuat demikian kerana telah disenarai hitam oleh Jabatan Imigresen.

Berikut adalah kenyataan penuh beliau:

Saya dan keluarga akan bercuti ke luar negara mulai hari ini untuk berehat selepas berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-14.

Dalam tempoh ini, saya akan mengambil keputusan mengenai kedudukan saya sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional, dengan mengambil kira kemerosotan sokongan rakyat kepada Barisan Nasional pada PRU ke-14.

Saya mengambil maklum pelbagai pandangan pemimpin dan ahli-ahli parti di semua peringkat mengenai kedudukan saya.

Sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional, saya bertanggungjawab sepenuhnya atas keputusan pilihan Raya Umum ke-14.

Sebarang keputusan saya itu akan memastikan UMNO dan Barisan Nasional sebagai parti yang paling banyak kerusi di Parlimen terus kekal utuh agar dapat terus menjalankan tanggungjawabnya kepada rakyat.

Sekembalinya ke tanah air minggu depan, saya akan memaklumkan keputusan tersebut dan perancangan masa depan saya.

Sepanjang tempoh ini saya memohon semua ahli UMNO dan Barisan Nasional bertenang dan tabah serta terus menguatkan ikatan kita terutama dalam suasana politik yang mencabar ini.

Sebarang keputusan yang saya akan buat nanti, hanyalah untuk memastikan UMNO dan Barisan Nasional agar kembali kuat dan mendapat semula kepercayaan rakyat.

Saya yakin UMNO dan Barisan Nasional dapat mengembalikan kekuatan ini kerana sepanjang 60 tahun mentadbir negara, kita telah membuktikan kemampuan kita berkhidmat kepada rakyat Malaysia.

Kita semua kena redha dengan ketentuan Allah S.W.T, selain melihat semua ini sebagai ada hikmahnya.

Marilah kita semua berusaha memperbaiki segala kelemahan yang ada. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×