KUALA LUMPUR 13 Mei – Humanitarian Care Malaysia (MyCare) menyasarkan kutipan sebanyak RM3.5 juta daripada orang ramai bagi mengagihkan bantuan makanan kepada masyarakat Islam yang kurang bernasib baik di 21 negara sepanjang Ramadan dan Syawal nanti.
Ketua Pegawai Eksekutif MyCare, Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata, sebahagian besar sumbangan melalui kempen MyRamadan itu akan disalurkan kepada rakyat Palestin di Gaza, masyarakat Islam di Syria serta di kem-kem pelarian di Turki, Lebanon, Jordan dan pelarian Rohingya.
“Kami akan menghulurkan bantuan berupa pek makanan bagi sahur dan iftar serta keperluan asas lain seperti beras, minyak, tepung, susu dan kurma bagi memastikan masyarakat Islam yang menerima sumbangan ini dapat menjalani ibadah puasa dengan sempurna.
“Kami juga menyediakan bantuan seperti pakaian baharu dan duit raya untuk kanak-kanak bagi memastikan mereka dapat meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri dalam suasana gembira,” katanya dalam majlis perasmian kempen MyRamadan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kota Damansara di sini hari ini.
Kamarul Zaman memberitahu, kempen tersebut juga dilaksanakan di negara ini dengan menyasarkan golongan kurang bernasib baik seperti ibu tunggal, anak yatim dan orang kurang upaya (OKU).
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan kepada kempen MyRamadan boleh berbuat demikian ke akaun Humanitarian Care Malaysia Berhad bernombor 551575004299 (Maybank Islamic), 12092010034904 (Bank Islam), 8602135592 (CIMB Islamic) atau secara dalam talian di http://www.billpliz.com/myramadan.










