Mukhriz umum tangguh projek kerajaan negeri, GLC - Utusan Malaysia

Mukhriz umum tangguh projek kerajaan negeri, GLC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 14 Mei – Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir hari ini mengumumkan semua projek kerajaan negeri dan syarikat milik kerajaan (GLC) bernilai lebih RM100,000 ditangguhkan bagi membolehkan penilaian semula dilakukan.


Menurutnya, penangguhan itu termasuk lima projek menaik taraf loji rawatan air yang diluluskan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini. 


“Saya mengarahkan semua perbelanjaan kerajaan negeri dan GLC yang bernilai lebih RM100,000 ditangguhkan dulu termasuk kontrak-kontrak loji rawatan air.


“Yang mana saya mendapat tahu, ada beberapa kontrak ditandatangani dua hari sebelum pilihan raya umum (PRU). Saya akan dapatkan nasihat daripada penasihat perundangan untuk memgetahui sama ada surat anugerah kepada kontraktor berkenaan sah atau tidak,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.


Mukhriz hari ini memulakan tugas sebagai Menteri Besar Kedah baharu tiba di pejabatnya di bangunan Wisma Darul Aman, di sini pada pukul 8 pagi tadi.


Dalam perkembangan lain, Mukhriz memberitahu, pelantikan 10 portfolio Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) akan dibuat dalam masa terdekat membabitkan ahli dewan undangan negeri (ADUN) daripada keempat-empat parti dalam Pakatan Harapan (PH).


“Disebabkan Dewan Undangan Negeri (DUN) berbelah bahagi (18 kerajaan dan 18 pembangkang), saya perlu mencari kaedah terbaik mengenai pelantikan speaker dan timbalannya.


“Soal pelantikan speaker ini, saya akan berbincang juga dengan pihak pembangkang,” ujarnya


Menurut Mukhriz, pihaknya bersedia memberi peruntukan pembangunan kepada ADUN pembangkang dalam memastikan rakyat di kawasan yang dimenangi mereka tidak dipinggirkan.


“Sewaktu kami menjadi pembangkang dulu, ini antara aduan kami kepada kerajaan BN. Apabila kami menjadi kerajaan, tentu kami akan beri pertimbangan sewajarnya.


“Kami telah bincang soal ini semalam namun masih perlu diperhalusi kaedah pelaksanaannya,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×