ALOR SETAR 11 Mei – Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir dilantik sebagai Menteri Besar di Istana Anak Bukit, di sini hari ini.
Mukhriz, 54, mengangkat sumpah jawatan itu di hadapan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dalam satu istiadat yang berlangsung di Balairung Seri Kecil, Istana Anak Bukit kira-kira pukul 4.15 petang tadi.
Yang berangkat sama, Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff dan Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin.
Mukhriz dilantik menjadi Menteri Besar kali kedua selepas PH memperoleh 18 kerusi daripada 36 kerusi dewan undangan negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Sementara Pas memenangi 15 kerusi dan baki tiga milik BN. – UTUSAN ONLINE










