Mukhriz bimbang Pilihan Raya Negeri diadakan semula di Kedah - Utusan Malaysia

Mukhriz bimbang Pilihan Raya Negeri diadakan semula di Kedah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir melahirkan kebimbangan pilihan raya negeri terpaksa diadakan semula apabila wujud situasi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam keadaan stalemate atau berbelah bahagi berhubung pemilihan calon Speaker baharu.

Menurut beliau, keadaan tersebut boleh berlaku pada persidangan pertama DUN nanti apabila Speaker tidak dapat dipilih kerana Pakatan Harapan (PH) mempunyai 18 kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu, sama dengan gabungan pembangkang apabila Pas memenangi 15 kerusi dan Barisan Nasional (BN) menawan tiga kerusi.

“Katakan 18 (kerusi) di pihak kami (PH), kita mencadangkan seorang calon Speaker dan ditolak pihak sana (pembangkang), pihak sana juga mencadangkan seorang (Speaker) dan kami pula tolak, kedua-dua tidak lepas.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jadi dalam keadaan macam ini (berbelah bahagi) kemungkinan terpaksa dibuat satu pilihan raya negeri,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis mengangkat sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Kedah di Istana Anak Bukit di sini hari ini.

Pada majlis itu, seramai 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengangkat sumpah Exco di hadapan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Sehubungan itu, Mukhriz yang dilantik sebagai Menteri Besar buat kali kedua selepas kali pertama pada 2013 berkata, beliau merancang untuk mengadakan perbincangan dengan pihak pembangkang untuk mendapatkan kerjasama untuk mengelakkan Pilihan Raya Negeri diadakan semula selepas ini.

“Saya memohon pertimbangan daripada pihak pembangkang merestui calon Speaker daripada PH bagi memastikan kerja-kerja pentadbiran dapat berjalan dengan lancar,” katanya.

Mukhriz yang juga ADUN Jitra berkata, beliau percaya ketika ini pihak kerajaan dan pembangkang termasuk rakyat tidak mahu diadakan pilihan raya sekali lagi dalam tempoh terdekat ini.

“Keputusan itu (pilihan raya negeri) kalau dibuat akan membuang masa dan membuang wang,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN