KOTA KINABALU 12 Mei – Kemelut politik Sabah bakal selesai hari ini selepas Istana Negeri berkenang menitahkan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal untuk mengadap Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin pada pukul 9 malam ini.
Mohd. Shafie ketika ditemui tidak menafikan perkara tersebut, sebaliknya hanya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menyokong.
“Saya tidak pakai pakaian rasmi, tapi apapun terima kasih kepada semua yang menyokong. Saya mahu hadir dalam satu mesyuarat sahaja,” katanya ketika keluar meninggalkan kediamannya di sini hari ini.
Sementara itu, Timbalan Presiden Warisan, Darell Leiking berkata, Mohd. Shafie dijangka akan mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri baharu pada pukul 9 malam ini.
“Apa yang dilakukan sekarang adalah berdasarkan undang-undang dan Barisan Nasional (BN) telah hilang majoriti.
“Kami minta Pengerusi BN, Tan Sri Musa Aman untuk menghormati undang-undang ini,” katanya di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










