KLANG – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, 54, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor bagi penggal kedua di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Balairung Seri, Istana Alam Shah di sini hari ini.
Majlis angkat sumpah dan menerima watikah pelantikan itu bermula pukul 3.25 petang.
Turut berangkat menyaksikan pelantikan tersebut adalah Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Mohamed Azmin yang merupakan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat sebelum ini dilantik menjadi Menteri Besar pada 23 September 2014 berikutan peletakan jawatan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ekoran kemelut dalaman parti.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) kelmarin, Mohamed Azmin berjaya mengekalkan kedudukannya di kerusi DUN Bukit Antarabangsa dengan majoriti 25,512 undi mengalahkan Salwa Yunus (BN), Sharifah Haslizah Syed Ariffin (Pas), Ahmad Kamarudin (PRM) dan adiknya, selebriti tanahair, Azwan Ali (Bebas).
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri Selangor itu juga berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Gombak dengan majoriti 48,721 selepas menewaskan calon BN, Datuk Abdul Rahim Kamarudin dan calon Pas, Khairil Nizam Khirudin.
PH memenangi 51 daripada 56 kerusi DUN pada PRU-14 berbanding Barisan Nasional (4) dan Pas (1). – K! ONLINE










