Dijanjikan keuntungan RM123,120, warga emas rugi RM15,140

Dijanjikan keuntungan RM123,120, warga emas rugi RM15,140

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Dijanjikan keuntungan sebanyak RM123,120, seorang warga emas lelaki berusia 66 tahun sebaliknya kerugian RM15,140 selepas terpedaya dengan tawaran pelaburan tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Khalid Mohamad berkata, mangsa tertarik dengan iklan pelaburan yang dilihat di laman sosial Facebook sebelum berhubung dengan suspek menerusi aplikasi WhatsApp.

Katanya, suspek menggunakan nama syarikat Phillip Wealth Planner Sdn. Bhd. bagi meyakinkan mangsa untuk menyertai pelaburan berkenaan.

“Mangsa kemudian membuat beberapa transaksi berjumlah RM15,140 ke akaun bank yang diberikan suspek.

“Selepas itu, mangsa dimaklumkan sejumlah RM123,120 sudah dipindahkan ke akaunnya, namun wang tersebut tidak diterima,” katanya di sini hari ini.

Khalid berkata, mangsa kemudiannya diminta membuat bayaran tambahan RM7,000 atas alasan ‘perlindungan keselamatan bank’.

Bagaimanapun, mangsa tidak meneruskan pembayaran tersebut sebelum membuat laporan polis.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan yang dipromosikan melalui media sosial.

Orang ramai perlu membuat semakan dengan agensi berkaitan sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan dengan semakan nombor akaun bank boleh dibuat menerusi portal Semak Mule. Mangsa penipuan kewangan dalam talian juga boleh menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×