BANGKOK 22 Mei – Datuk Misbun Sidek tidak mengalami kesukaran untuk menentukan barisan pemain yang akan menentang Denmark esok, malah jurulatih perseorangan itu percaya Datuk Lee Chong Wei mempunyai kelebihan untuk mengutip mata pertama walaupun tewas dalam tiga pertemuan terakhir menentang Viktor Axelsen.
Legenda badminton negara itu mengakui adalah penting buat Chong Wei untuk memenangi mata pertama kerana akan menentukan kekuatan keseluruhan pasukan, namun menegaskan semua pemain memikul tanggungjawab yang sama untuk mencabar Denmark.
“Sebenarnya tidaklah pening atau susah sangat pun hendak menentukan pemain yang akan diturunkan menentang Denmark kerana kami sudah ada gambaran sejak awal.
“Namun, kita kena hati-hati kerana mereka turun sebagai penyandang juara, jadi tahap keyakinan itu pasti sangat tinggi. Malaysia pula hanya dilihat sebagai underdog.
“Memang penting untuk mendapat mata daripada Chong Wei kerana itu akan menentukan kekuatan kita dan saya percaya dia ada kelebihan. Viktor mungkin banyak memenangi pertemuan terakhir mereka tetapi dia baru menjalani pembedahan jadi pasti dia ada sedikit kebimbangan di sini,” kata Misbun lagi.
Viktor, 24, yang mengalahkan Chong Wei dalam Siri Super Dunia Akhir (Disember 2017), Terbuka Jepun (September 2017) dan Siri Super Dunia Akhir (Disember 2016), menjalani pembedahan buku lali pada Februari lalu yang memerlukannya berehat lebih sebulan.
Pemain No. 1 dunia itu bagaimanapun tidak menghadapi masalah untuk memenangi kedua-dua perlawanan Kumpulan D dengan menewaskan Youcef Sabri Medel 21-4, 21-8 dan Vladimir Malkov 21-14, 21-3 dalam pertemuan dengan Algeria dan Rusia.
Malaysia juga menunjukkan prestasi meyakinkan dalam dua perlawanan pertama selepas mengalahkan Rusia 5-0, diikuti Algeria 5-0 hari ini.
Misbun percaya, selain Chong Wei, Lee Zii Jia dan Iskandar Zulkarnain Zainuddin dan juara remaja Asia, Leong Jun Hao yang diuji dalam pertemuan menentang Algeria juga bersedia diturunkan biarpun kelihatan agak gemuruh pada awal permainan.
“Semua pemain menunjukkan permainan memuaskan dan memenangi perlawanan mereka menerusi keputusan straight-set. Jun Hao nampak gemuruh pada mulanya. Zii Jia dan Iskandar pula sudah lebih matang dalam permainan,” katanya.
Menentang pendatang baharu Algeria, Malaysia merehatkan Chong Wei dan Goh V Sem-Tan Wee Kiong, namun masih tidak menghadapi masalah untuk melengkapkan lima perlawanan hanya dalam masa satu jam, 46 minit.
Zii Jia melaksanakan tugasnya dengan baik apabila menumpaskan Medel 21-6, 21-13, sebelum Iskandar menggandakan kedudukan 2-0 selepas menundukkan Mohamed Abderrahime Belarbi 21-7, 21-9 dalam masa 27 minit.
Jun Hao yang beraksi di pentas Piala Thomas buat kali pertama mengesahkan kemenangan Malaysia dengan mengalahkan Adel Hamek 21-13, 21-8.
Dalam saingan beregu, Malaysia mencuba pasangan serpihan Mohd. Ariff Abdul Latif-Teo Ee Yi yang mudah menumpaskan Koceila Mammeri-Medel 21-12, 21-10.
Beregu muda Aaron Chia-Soh Wooi Yik melengkapkan kemenangan besar 5-0 Malaysia dengan menang 21-11, 21-15 ke atas Belarbi-Adel Hamek. Denmark mengalahkan Malaysia 3-2 pada pertemuan terakhir mereka dalam Piala Thomas iaitu di separuh akhir, dua tahun lalu. – UTUSAN











