BANGKOK 21 Mei – Ketua Jurulatih Perseorangan negara, Datuk Misbun Sidek menegaskan kehadiran pembantunya, Nor Kamal Ahmad yang dibawa bersama sepanjang kempen Piala Thomas di Bangkok bukan untuk menafikan sumbangan Hendrawan.
Tegas Misbun, sejak awal lagi beliau sudah menjelaskan kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) beliau memerlukan pembantunya jika mereka mahu menggunakan khidmatnya dalam skuad kebangsaan, malah perkara tersebut turut dipersetujui Hendrawan.
Bagaimanapun, katanya, kehadiran Nor Kamal bukan untuk mencampuri urusan kejurulatihan dalam BAM, sebaliknya hanya memberi info tambahan kepadanya dan mengambil nota mengenai sesuatu permainan.
Kemunculan Nor Kamal yang duduk di tepi gelanggang bersama Misbun ketika pemain negara beraksi dalam perlawanan Kumpulan D menentang Rusia dan Algeria semalam serta hari ini menimbulkan tanda tanya kerana dia bukan jurulatih di bawah naungan BAM.
“Sebelum masuk (skuad kebangsaan) dahulu saya sudah bincang (dengan BAM) mengenai perkara ini. Pada mulanya, saya tidak mahu masuk (terima tawaran) tetapi kalau saya dibenarkan membawa penasihat yang banyak membantu saya, maka saya terima.
“Dia banyak membantu saya daripada perkara-perkara yang saya terlupa. Umur saya bukan 40 atau 30 tahun, saya sudah hampir 60 tahun, jadi dia akan tolong ambil nota yang saya terlepas pandang.
“Seperti juga saya membawa Jalani (Sidek). Dalam latihan dia selalu ada…mengapa? Kerana dia seorang penganalisis, dia bekas pemain badminton dan menang banyak pertandingan, jadi apabila dia ada bersama, dia boleh beri saya banyak pandangan.
“Dia (Jalani) pernah menang Piala Thomas, jadi kami banyak berbincang untuk membantu pasukan saya. Dia banyak memudahkan, meringankan beban saya. Yang penting kita hendak menang, kami hendak memudahkan dan bukan menyusahkan,” kata Misbun ketika ditemui di Arena Impact di sini, hari ini.










