MILAN – Jurulatih AC Milan, Gennaro Gattuso mengakui keadaan fizikal skuad kendaliannya itu masih belum cukup biarpun berjaya membelasah Fiorentina 5-1 pada aksi ter- akhir Serie A di San Siro awal pagi semalam.
Dua gol jaringan Patrick Cutrone serta masing-masing satu gol menerusi Hakan Calhanoglu, Nikola Kalinic dan Giacomo Bo-naventura berjaya memastikan Milan melayakkan diri ke Liga Europa selepas menamatkan saingan liga di kedudukan keenam.
Gattuso nyata gembira dengan kemenangan tersebut dan menghamburkan pujian terhadap pemain-pemainnya yang sentiasa memberikan komitmen penuh kepada pasukan.
“Saya mahu berterima kasih kepada semua pemain kerana mereka sudah mengharungi tempoh yang cukup sukar. Semua pemain menghormati saya biarpun keputusan perlawanan tidak begitu baik.
“Kami sentiasa mempunyai pe-rancangan pada setiap perlawanan, namun tanpa semangat serta kesungguhan mereka, mustahil kami mampu tamatkan saingan musim ini di kedudukan sekarang,” kata Gattuso.
Justeru, Gattuso yang juga legenda pasukan tersebut menggesa barisan pemainnya untuk menerapkan corak permainan fizikal serta perangai ‘budak jahat’ menjelang musim depan.
“Kami perlu belajar untuk bermain secara fizikal dan sedikit naluri ‘budak jahat’. Pasukan ini masih muda dan dalam tempoh belajar, jadi berikan mereka masa untuk penuhi potensi,” ujarnya. – Agensi











