MONACO – Mercedes menjangkakan pasukan mereka bakal ketinggalan dengan Red Bull dan Ferrari pada Grand Prix (GP) Monaco hujung minggu ini, kata ketua pasukan tersebut, Toto Wolff.
Menurutnya, Mercedes sangat bergelut di Monaco pada tahun lalu dan Wolf percaya laluan perlahan dan sempit di Litar Monaco tidak sesuai dengan jentera mereka.
“Kami hadir ke Monaco sebagai pasukan bukan pilihan kerana Red Bull dan Ferrari akan memiliki kelebihan di litar terbabit.
“Red Bull sangat bagus dan hebat di laluan selekoh perlahan manakala di laluan lurus tidak begitu penting di litar ini. Tugas kami adalah untuk memaksimumkan potensi jentera dalam apa jua keadaan nanti,” kata Wolf.
Sebagai rekod, pelumba Mercedes, Lewis Hamilton memiliki kelebihan 17 mata berbanding pemandu Ferrari, Sebastian Vettel dalam perebutan gelaran dunia Formula Satu (F1) selepas memenangi dua saingan pada GP Sepanyol dan GP Azerbaijan.
Pada GP Sepanyol, Mercedes menguasai saingan tersebut apabila kedua-dua pelumbanya, Hamilton dan Valtteri Bottas memenangi podium pertama dan kedua.
Wolf berkata, kemenangan 1-2 Mercedes pada GP Sepanyol sangat hebat manakala jentera sangat pantas dan pelumba berpuas hati dengan pengurusan tayar, keseimbangan dan kawalan pemanduan.
“Bagaimanapun, kami tidak fikir ini merupakan titik kebangkitan memandangkan reka bentuk, permukaan litar dan cuaca sangat sesuai dengan jentera menyebabkan kami memiliki kelebihan di Sepanyol.
“Justeru, kami kekal waspada apabila tiba di Monaco nanti. Litar Monaco memberikan cabaran yang berbeza kepada kami bahkan ia juga unik,” katanya. – Agensi










