MUAR 29 Mei – Dunia permotoran Malaysia semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat sejak pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah diterima menyertai perlumbaan motosikal bertaraf antarabangsa, MotoGP.
Bertitik-tolak daripada itu, ramai kini terutamanya golongan belia semakin teruja untuk menjadi pelapis kepada sukan berkenaan yang memberi masa depan cerah apabila berpeluang untuk bersaing dengan jaguh-jaguh dunia.
Justeru itu, kira-kira 100 ‘pelumba’ amatur tidak melepaskan peluang keemasan untuk terjun ke bidang tersebut dengan menyertai Klinik Cub Prix yang diadakan di Maktab Teknik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bakri di sini, baru-baru ini.
Rata-rata mereka yang berusia 13 hingga 22 tahun tidak menunggu lama untuk mempamerkan kemahiran menunggang masing-masing apabila diberi peluang mengendalikan jentera yang disediakan pihak penganjur.
Sebahagian daripada 22 siri klinik di seluruh negara itu dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas bagi mencari 48 pelumba untuk beraksi pada pusingan Grand Finale, Disember depan.
Timbalan Pengarah Cawangan Pembangunan Sukan Rekreasi KBS, Mahanum Fauzi berkata, klinik tersebut antara lain bertujuan mencungkil bakat pelumba muda untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
Menurutnya, program tersebut merupakan saluran yang betul untuk mereka mempamerkan kemahiran masing-masing yang secara tidak langsung mampu membendung gejala tidak sihat seperti merempit atau lumba haram.
“Sebanyak 22 siri klinik akan diadakan termasuk di daerah ini yang merupakan pusingan kelima sebelum pusingan akhir di Litar Lumba Tangkak pada 22 hingga 23 Disember depan.
“Mereka yang terpilih dari setiap lokasi akan berpeluang berlumba dengan menggunakan jentera Yamaha dan Honda, manakala pemenang pertama hingga ketiga bagi kedua-dua kategori itu akan menerima slot automatik dan tajaan yuran pendaftaran serta komitmen semusim.
“Enam pelumba tersebut akan beraksi dalam kategori satu pengeluar Honda dan Yamaha bagi Kejuaraan Cub Prix musim 2019 nanti,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Mahanum berkata, selain menjadi pelumba, klinik tersebut turut mendedahkan peserta terhadap karier berkaitan sukan permotoran yang kini semakin berkembang.
“Pada sebelah pagi, peserta akan diberi taklimat keselamatan oleh PDRM, diikuti ceramah daripada Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) berkaitan kejuruteraan sukan permotoran dua roda yang memberikan pelbagai maklumat berguna untuk peluang kerjaya.
“Selepas itu, mereka akan diberi tips, kemahiran dan pelbagai ilmu daripada ikon Cub Prix negara, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini yang mengendalikan kelas tunggangan yang betul dan selamat,” katanya.










