MB alu-alukan siasatan kes ceroboh kedai jual minuman keras - Utusan Malaysia

MB alu-alukan siasatan kes ceroboh kedai jual minuman keras

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 29 Mei – Kerajaan negeri mengalu-alukan tindakan pihak polis yang membuka kertas siasatan kes sekumpulan lelaki memasuki sebuah kedai serbaneka di Gugusan Manjoi di sini untuk menghentikan penjualan minuman keras di kedai tersebut pada 24 Mei lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu berkata, dalam hal ini, kedaulatan undang-undang menjadi asas Perlembagaan negara dalam memelihara hak asasi semua rakyat dan pendekatan yang sama harus diambil di negeri ini.

“Mereka yang ingin mendaftarkan ketidakpuasan mereka terhadap apa-apa isu boleh melakukannya melalui saluran yang betul dan tidak mengambil tindakan sendiri.

“Saya menyokong sepenuhnya penyiasatan oleh pihak polis dan saya memohon kepada semua pihak yang terbabit untuk melakukan perkara yang sama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, polis mengesahkan telah membuka kertas siasatan berhubung tindakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menceroboh masuk ke sebuah kedai serbaneka di Manjoi di sini Khamis lalu kerana mendakwa terdapat penjualan minuman keras.

Siasatan kes berkenaan dibuat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh.

Dalam kejadian Khamis lalu kira-kira pukul 4.15 petang, sekumpulan lelaki yang mendakwa daripada sebuah NGO dan beberapa penduduk kampung telah menyerbu ke kedai serbaneka tersebut kerana mendakwa terdapat penjualan minuman keras.

Menurut kumpulan berkenaan, teguran telah diberikan kepada pihak pengurusan kedai tersebut sebelum ini untuk tidak menjual minuman keras di premis itu kerana majoriti penduduk di kawasan berkenaan beragama Islam. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini