KUALA LUMPUR 10 Mei – Pemansuhan cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang menjadi antara intipati manifesto Pakatan Harapan (PH) dan sekali gus pendorong utama kemenangan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) diharapkan mampu mengawal kos sara hidup yang semakin membebankan.
Pensyarah ekonomi Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak), Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata, walaupun kos sara hidup yang dilihat kian menekan rakyat ketika ini mungkin akan turun serta-merta selepas pemansuhan GST, namun perlu disulami dengan strategi lain dalam jangka panjang.
Hal ini kerana menurutnya, penguatkuasaan lebih ketat perlu dilakukan selepas cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dikembalikan bagi memastikan tidak ada pihak boleh mengambil peluang melakukan pencatutan harga.
“Pada pandangan saya harga barangan juga mungkin akan turun serta-merta namun apa yang masih diragui adalah sama ada ia kekal dalam jangka panjang kerana apabila SST kembali dikenakan ke atas pemborong, mereka semestinya memindahkan kos cukai kepada pengguna.
“Namun begitu, kita perlu akui proses pemansuhan ini mungkin akan mengambil sedikit masa dan dalam masa yang sama penjual, peruncit atau pemborong akan mengambil peluang perubahan sistem cukai ini untuk mengaut keuntungan berlebihan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, PH yang dipimpin Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan memperoleh majoriti mudah di Parlimen dan menguasai enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Kedah dan Johor.
Menghapuskan GST merupakan janji pertama yang ditawarkan dalam manifesto 10 janji 100 hari PH selepas berjaya menawan Putrajaya.
Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, kerajaan baharu PH seharusnya melaksanakan dua langkah menampung kehilangan hasil akibat pemansuhan GST dengan memperkenalkan semula SST dan melakukan perbelanjaan berhemah sekali gus boleh mengawal ketirisan.
“Kita kena faham GST menyumbang RM43.8 bilion tahun lalu manakala SST pula pada tahun terakhir pelaksanaan hanya mampu mengaut kira-kira RM20 bilion, namun sekiranya kerajaan boleh menguruskan perbelanjaan secara berhemah, maka perkara itu boleh ditangani.
“Hal ini kerana kita sedia maklum perbelanjaan mengurus kerajaan Persekutuan menghampiri 97 peratus daripada pendapatan dalam Bajet 2018, jika PH boleh mengurangkan perbelanjaan jadi mungkin tidak akan berlaku lagi defisit fiskal walaupun pulangan pendapatan agak rendah,” ujar beliau.










