SKUAD badminton negara menggalas cabaran besar untuk mencipta sejarah baharu apabila bakal bersaing dalam kejohanan Piala Thomas di Bangkok, Thailand bermula Ahad ini.
Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, gandingan pemain muda dan berpengalaman yang membarisi skuad kali ini dilihat mampu merealisasikan hasrat tersebut, lebih-lebih lagi berbekalkan semangat berkobar-kobar dalam diri mereka.
“Sekiranya doa kita semua mengiringi mereka, tidak mustahil kita mampu ulangi pencapaian 1992. Saya juga tidak mahu Piala Thomas hanya berada dalam lipatan sejarah, tetapi berharap mereka cipta sejarah baharu dengan memenanginya,” katanya pada majlis makan tengah hari di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, Kuala Lumpur semalam.
Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama juara bertahan Denmark, Rusia dan Algeria dengan dua pasukan terbaik daripada setiap kumpulan akan layak ke peringkat suku akhir.
Kali terakhir Malaysia menjulang trofi yang dianggap sebagai piala dunia sukan badminton itu adalah pada edisi 1992 di Kuala Lumpur.










