BANGKOK 22 Mei – Kejayaan mara ke suku akhir 2010 kekal sebagai pencapaian terbaik skuad badminton wanita negara dalam Piala Uber selepas mereka tersingkir daripada saingan ekoran kekalahan 1-4 kepada China di sini, hari ini.
Bekas juara remaja dunia, Goh Jin Wei satu-satunya pemain yang menghadiahkan mata buat Malaysia apabila mengejutkan pemain No. 8 dunia, He Bingjiao 21-9, 17-21, 21-13 dalam acara perseorangan kedua di Arena Impact.
Soniia Cheah juga cuba memberikan tentangan dalam perseorangan pertama, namun dia gagal menyaingi kehebatan pemain No. 5 dunia, Chen Yufei apabila tewas 21-18, 20-22, 18-21.
Malaysia ketinggalan 0-2 selepas gandingan serpihan, Goh Ching Yea-Soong Fie Cho kalah mudah 9-21, 8-21 kepada Chen Qingchen-Jia Yifan.
Walaupun Jin Wei berjaya merapatkan jurang kepada 1-2, namun kekalahan pasangan Vivian Hoo-Chow Mei Kuan 19-21, 15-21 kepada Huang Dongping-Yu Zheng meranapkan impian pasukan negara.
Gao Fangjie melengkapkan kemenangan 4-1 China dengan mengalahkan bekas juara remaja dunia, Lee Ying Ying 21-16, 21-15.
“Saya kecewa dengan permainan saya hari ini dan tidak bermain dengan baik. Apa pun ini adalah pengalaman berharga buat saya beraksi di pentas Piala Uber buat kali pertama,” kata Ying Ying ketika ditemui selepas tamat perlawanan hari ini.
Malaysia akan melengkapkan jadual Kumpulan D dengan menentang Perancis esok, namun apa pun keputusan tidak akan memberi makna kerana mereka sudahpun tersingkir selepas turut tewas 2-3 kepada Indonesia dalam perlawanan pertama semalam. – UTUSAN ONLINE











