LIVERPOOL – Liverpool telah mengumumkan bahawa kelab itu telah berjaya menandatangani pemain tengah AS Monaco, Fabinho dengan yuran perpindahan bernilai £39 juta (RM207 juta) termasuk tambahan bonus yang dianggarkan bernilai £4 juta (RM21 juta).
Perpindahan itu hadir kurang 48 jam selepas The Reds tewas 1-3 kepada Real Madrid dalam aksi final Liga Juara-Juara di Kiev, Ukraine pada Ahad lalu.
Liverpool dalam satu kenyataan memberitahu, perpindahan pemain Brazil yang berusia 24 tahun itu akan lengkap pada 1 Julai depan sebaik Fabinho melepasi ujian perubatan dan menandatangani kontrak panjang bersama The Reds.
Fabinho berkata, dia gembira selepas dikaitkan dengan finalis Liga Juara-Juara itu dengan menganggap Liverpool sebagai pasukan gergasi Eropah.
“Inilah sesuatu yang saya sentiasa mahukan kerana Liverpool adalah pasukan gergasi Eropah. Infrastruktur kelab ini benar-benar menakjubkan.
“Jadi, jika kelab sebesar ini datang mahukan khidmat saya, mengapa saya perlu berfikir panjang. Saya akan cuba mencipta sejarah sendiri di sini. Secara peribadi, saya mahu memenangi gelaran bersama Liverpool.
“Saya akan cuba belajar dan mempelajari tradisi kelab ini dan sudah pasti mahu menjadi sebahagian sejarah bersama Liverpool,” katanya. – Agensi










