KAJANG – Sekumpulan lelaki melarikan barang kemas bernilai RM2 juta dalam tempoh kurang dua minit di sebuah kedai emas dalam sebuah pasar raya di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 1.36 petang itu, lima lelaki yang bersenjatakan pistol, parang serta tukul dikatakan memasuki kedai emas tersebut sebelum melarikan 10 dulang barang kemas.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Dzaffir Mohd. Yussof berkata, kesemua suspek memakai jaket, sarung tangan serta topi keledar bervisor penuh sebelum memasuki premis yang tiada pelanggan ketika itu.
“Mereka (suspek) bertindak memecahkan tiga cermin pameran yang digunakan untuk meletakkan barang kemas sebelum melarikan 10 dulang barang kemas yang dianggarkan bernilai RM2 juta. Antara barang kemas yang dilarikan termasuk gelang dan rantai emas.
“Ketika kejadian hanya lima pekerja kedai itu berada di lokasi dan suspek bersenjatakan pistol, tukul dan parang itu berjaya melarikan diri sebaik mengambil barang kemas tersebut,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.
Kosmo! difahamkan premis yang sama pernah dirompak pada Oktober tahun lalu.
Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pusat gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di talian 03-8733 6580. – K! ONLINE










