Firdaus fikir soal amanah, bukan gila jawatan

Firdaus fikir soal amanah, bukan gila jawatan

PRESIDEN Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBMM), Mohd Firdaus Mohamed.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Presiden Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBMM), Mohd Firdaus Mohamed enggan mengejar kedudukan penting dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), sebaliknya mahu memikul amanah mengembalikan maruah bola sepak negara.

Beliau yang bertanding bertanding merebut jawatan Naib Presiden 1 pada Kongres Luar Biasa FAM 2026 pada 17 September ini menegaskan jawatan itu bukan untuk dibanggakan, sebaliknya amanah yang perlu dilaksanakan jika diberikan kepercayaan oleh ahli gabungan.

“Saya sedia memikul amanah yang dipertanggungjawabkan jika saya terpilih menjadi Naib Presiden 1 FAM. Saya akan buat sehabis baik berdasarkan pengalaman yang saya ada ketika berada dalam FAM sebelum ini.

“Kita jangan terus meratapi apa yang berlaku pada masa lalu. Demi kelangsungan bola sepak, kita perlu meneruskan perjuangan untuk mengangkat semula martabat bola sepak Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Firdaus berkata, pengalaman luas yang dilaluinya daripada peringkat akar umbi termasuk sebagai pemain, jurulatih, pentadbir Selangor United dalam saingan Liga Perdana 2018 dan 2019 serta menerajui PBMM menjadi bekalan untuknya menawarkan khidmat kepada FAM.

Katanya, latar belakang itu memberi pemahaman menyeluruh mengenai bola sepak, daripada padang hingga ke aspek pentadbiran, sekali gus mampu membantu beliau melaksanakan tanggungjawab jika dipilih sebagai Naib Presiden 1 FAM.

“Saya bermula dari bawah. Saya pernah menjadi pemain, jurulatih, mentadbir pasukan Selangor United dan kemudian menjadi Presiden PBMM sebelum berada dalam FAM.

“Jadi, kita bertanding bukan kerana nama semata-mata. Kita perlu ada pengalaman dan tahu apa yang mahu dilakukan untuk bola sepak Malaysia,” katanya.

Selain Firdaus, saingan tiga penjuru bakal disaksikan bagi jawatan Naib Presiden 1 FAM apabila penyandang, Datuk Seri Rosmadi Ismail mahu mempertahankan kedudukannya selain dicabar oleh Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur, Syed Yazid Syed Omar.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×