KUALA LUMPUR 23 Mei – Seorang lelaki warga Libya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan memiliki pasport mengandungi cop keselamatan palsu, dua minggu lalu.
Musa Ramadan Tayeb, 31, didakwa memiliki pasport mengandungi cop keselamatan yang telah disahkan palsu oleh Bahagian Keselamatan, Jabatan Imigresen di Kondominium Putra Majestik, Jalan Kasipillay melalui Jalan Sentul, di sini kira-kira pukul 10.30 malam, 11 Mei lalu.
Pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 56(1)(1) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 57 akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farah Adilah Noordin yang mengendalikan pendakwaan tidak mencadangkan jaminan ekoran tertuduh merupakan warga asing.
Majistret Mahyudin Mohmad Som tidak membenarkan tertuduh yang tidak diwakili peguam diikat jamin dan menetapkan 28 Mei ini untuk sebutan semula kes. – UTUSAN ONLINE











