BANGKOK – Setelah diburu selama beberapa bulan, lelaki dipercayai mendalangi pembunuhan kejam seorang lelaki di sebuah stesen minyak di Johor Baharu pada Disember lepas akhirnya ditangkap di Thailand.
Suspek (namanya dirahsiakan) yang berusia dalam lingkungan 40 tahun dan mempunyai satu tatoo besar di lengan kanan ditangkap sekumpulan pegawai polis Thailand di wilayah Chaiyaphum, kira-kira 260 kilometer di timur laut Bangkok pada kira-kira pukul 7 pagi ini.
“Lelaki itu merupakan suspek paling dikehendaki dalam kes pembunuhan (di sebuah stesen minyak di Johor Baharu). Dia dipercayai menjadi dalangnya,” kata penolong pegawai perhubungan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Thailand, Superintendan Ridzuan Abdul Aziz kepada Bernama di sini hari ini.
Berita berkaitan:
Penangkapannya oleh polis Thailand pagi ini berikutan permohonan bantuan oleh rakan sejawatan mereka dari Malaysia beberapa bulan lepas, menamatkan operasi memburu secara besar-besaran oleh pihak berkuasa kedua-dua negara yang turut meliputi dua sempadan sepanjang beberapa ribu kilometer.
Menurut Ridzuan, suspek datang ke Thailand Disember lepas, tidak lama selepas berlaku kes pembunuhan yang mengejutkan rakyat Malaysia itu dalam keadaan kepalanya bercukur licin, kemungkinan besar bagi menyembunyikan identiti sebenarnya daripada pihak berkuasa. – Bernama











