Lelaki bunuh tiga beradik berdepan hukuman gantung - Utusan Malaysia

Lelaki bunuh tiga beradik berdepan hukuman gantung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN – Seorang pekerja penyelengara secara kontrak di sebuah jabatan kerajaan berdepan hukuman mati selepas dihadapkan ke dua Mahkamah Majistret berasingan di sini hari ini atas tujuh pertuduhan termasuk tiga pertuduhan menyebabkan kematian tiga beradik di Kampung Sungai Haji Muhamad, Bagan Datuk dekat sini dua minggu lalu.

Bagi tiga pertuduhan bunuh, tertuduh, Shahrul Pitri Jusoh, 35, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Syahdatul Kamila Zakaria.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Mengikut tiga pertuduhan itu, tertuduh didakwa membunuh tiga beradik iaitu Nur Zia Fasihah Mohd. Fadzil, 2; Muhammad Firash Zafrill, 3 dan Muhamad Faqih Zahirulhaq, 5.

Shahrul Pitri didakwa membunuh ketiga-tiga beradik itu di dalam rumah mangsa iaitu rumah Projek Bantuan Bina Rumah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak di Kampung Sungai Haji Muhammad dekat Selekoh di Bagan Datuk kira-kira pukul 2.30 hingga 2.40 petang pada 17 Mei lalu.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum gantung sampai mati jika sabit kesalahan. 

Dalam pada itu, bagi tiga lagi pertuduhan, tertuduh didakwa telah cuba melakukan bunuh dengan menggunakan parang yang boleh menyebabkan kematian ibu tiga beradik itu, Zuraidah Mat Ali, 35, Redhuan Embi, 32 dan Nur Aina Umaira Subri,10.

Tertuduh juga didakwa atas satu pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas kakak sulung ketiga-tiga beradik yang maut, Nur Zuryn Faziera Mohd. Fadzil,9, dengan menggunakan parang.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas empat pertuduhan itu dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Norita Mohd. Ardani.

Kesemua pertuduhan tersebut dilakukan oleh Shahrul Pitri di dalam rumah mangsa, di hadapan dan titi pondok Sekolah Kebangsaan Sungai Haji Muhammad dekat Selekoh si Bagan Datuk kira-kira pukul 2.15 hingga 2.45 petang pada 17 Mei lalu.

Bagi tiga pertuduhan cuba melakukan bunuh, Shahrul Pitri didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Sementara itu, bagi satu pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Pendakwaan ketujuh-tujuh pertuduhan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Afiqa Liyana Rozman manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Kedua-dua Majistret bagaimanapun tidak menawarkan sebarang ikat jamin kepada tertuduh.

Kes disebut semula pada 4 Julai depan sementara menunggu laporan kimia. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN