Lebih 3,000 lantikan JPP Kelantan ditamatkan - Utusan Malaysia

Lebih 3,000 lantikan JPP Kelantan ditamatkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 15 Mei – Le­bih 3,000 kakitangan lantikan oleh Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan di seluruh negeri ini ditamatkan kontrak masing-masing berkuat kuasa hari ini.

Difahamkan, mereka yang ditamatkan kontrak terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP), pegawai pembangunan Islam serta guru mengaji.

Surat penamatan kontrak kumpulan tersebut mula tersebar di media sosial sejak pagi ini.

Surat tersebut bertarikh 14 Mei 2018 dan ditandatangani oleh Pengarah JPP negeri, Amir Zakri Mahmad Mahyidin.

Bagaimanapun, punca penamatan kontrak mereka tidak dijelaskan.

Sementara itu, Amir Zakri ketika dihubungi enggan mengulas perkara tersebut dan meminta pemberita menghubungi Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya untuk maklumat lanjut.

“Biar ibu pejabat (di Putrajaya) yang jawab,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menafikan penamatan sebarang kontrak penjawat awam tanpa notis dan sedang menyiasat dakwaan-dakwaan yang tular dalam media sosial.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Zainal Rahim Seman berkata, pihaknya bagaimanapun tidak menolak kemungkinan terdapat beberapa penamatan yang berlaku disebabkan kontrak tamat tempoh.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×