SPRM diarah siasat kontrak baja

SPRM diarah siasat kontrak baja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat proses pemberian kontrak bekalan Baja 3 kepada pesawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Kedah susulan kelewatan yang menjejaskan golongan berkenaan.

Perdana Menteri berkata, siasatan perlu meneliti sama ada proses pemberian kontrak itu dilaksanakan dengan betul selain memastikan syarikat yang diamanahkan benar-benar melaksanakan tanggungjawab seperti dipersetujui.

“Kalau nak dakwa, SPRM masuk, kaji balik proses ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026, di sini semalam.

Turut hadir, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Anwar berkata, sekiranya siasatan mendapati berlaku salah laku, kontrak berkenaan wajar dibatalkan dan tindakan undang-undang termasuk pendakwaan perlu diambil terhadap pihak bertanggungjawab.

Beliau turut mempersoalkan kewajaran membiarkan syarikat yang gagal melaksanakan amanah meneruskan kontrak, terutama sekiranya kesalahan sama berulang.

“Kalau syarikat yang seperti ini berulang kali melakukan kesilapan, batalkan. Ambil syarikat baharu,” katanya.

Anwar menegaskan, kelewatan bekalan baja tidak boleh dipandang ringan kerana petani dan pesawah akhirnya menjadi mangsa, sedangkan sektor pertanian menjadi sumber pendapatan mereka.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan kelewatan pembekalan Baja 3 berisiko menjejaskan pengeluaran padi tempatan serta Kadar Sara Diri (SSR) beras negara.

Kira-kira 40,000 daripada 60,000 pesawah di kawasan MADA dianggarkan masih belum menerima bekalan baja tambahan ketiga, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap hasil tuaian musim semasa.

Keadaan itu turut dikhuatiri meningkatkan kebergantungan negara terhadap import beras bagi memenuhi keperluan domestik.

Dalam pada itu, Anwar berkata, peruntukan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) boleh ditambah, namun pengurusan dana awam mesti dilaksanakan secara teliti dan telus.

Katanya, kerajaan tidak mempunyai masalah meningkatkan peruntukan kerana ia memberi manfaat langsung kepada petani, pesawah, pengusaha ladang dan nelayan.

Bagaimanapun, beliau berkata, pertambahan peruntukan perlu disertai tadbir urus baik bagi memastikan dana digunakan secara berkesan dan tidak berlaku ketirisan.

Mengulas siasatan tatakelola membabitkan beberapa agensi kerajaan termasuk Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan Lembaga Tabung Haji (TH), Anwar berkata, tindakan berkenaan bukan atas dasar iri hati atau dendam serta tidak wajar dipolitikkan.

Sebaliknya, beliau berkata, siasatan itu merupakan tanggungjawab kerajaan bagi memastikan pentadbiran negara berjalan mengikut undang-undang dan membebaskan negara daripada penyelewengan.

“Jangan politikkan. Fikirkanlah, yang siasat bukan saya, ia adalah badan penguatkuasaan.

“Yang memutuskan untuk mendakwa itu juga adalah Peguam Negara, manakala yang menghukum itu pula hakim,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Sabu dalam kenyataan berkata, syarikat pembekal yang gagal memenuhi komitmen penghantaran Baja 3 hingga menyebabkan kelewatan bekalan kepada pesawah akan dikenakan tindakan sewajarnya berikutan kegagalan itu bukan sahaja menjejaskan pesawah, malah memberi imej negatif kepada kementerian dan kerajaan.

Beliau menyambut baik arahan Perdana Menteri supaya SPRM meneliti isu berkenaan secara telus dan menyeluruh.

Malah, beliau akan memastikan baki bekalan disalurkan segera, selain memperketatkan pemantauan supaya isu sama tidak berulang.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×