Mampukah AI jadi enjin ekonomi baharu? 

Mampukah AI jadi enjin ekonomi baharu? 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELEPAS 69 tahun mencapai kemerdekaan, Malaysia telah melalui beberapa fasa transformasi pembangunan yang besar bermula daripada era komoditi dan pertanian, sektor pembuatan serta semikonduktor, sehinggalah berkembang pesat menerusi ekonomi digital dan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0).

Kini, persoalan utama yang perlu dijawab oleh negara bukan lagi sekadar menyoal adakah kita mahu menggunakan kecerdasan buatan (AI), sebaliknya seberapa pantas Malaysia boleh mengadaptasi dan menterjemahkan teknologi tersebut sebagai enjin pertumbuhan baharu ekonomi.

Ketua Pegawai Eksekutif SOVA Intelligence (M) Sdn. Bhd., Dr. Salasiah Abbas berkata, AI adalah fasa seterusnya yang membawa keupayaan automasi, sistem robotik dan Internet Pelbagai Benda (IoT) ke tahap lebih pintar iaitu daripada sekadar automasi kepada ramalan, analisis serta sokongan keputusan.

Menurutnya, penekanan kerajaan dalam mempercepat agenda AI, infrastruktur digital dan pembangunan bakat adalah perkembangan positif, namun hala tuju nasional itu kini perlu diterjemahkan kepada kadar pemakaian (adoption) yang lebih meluas dalam sektor industri.

“Nilai terbesar AI bukan datang daripada teknologi yang paling canggih, sebaliknya apabila ia menyelesaikan masalah perniagaan sebenar seperti meningkatkan produktiviti, memberi kejelasan pengurusan, mempercepat pembuat keputusan, mengurangkan kerugian atau membuka peluang pendapatan baharu.

“AI bukan semata-mata agenda teknologi, ia adalah agenda produktiviti, daya saing dan pembinaan negara yang merentas sektor pembuatan, logistik, kejuruteraan, perkhidmatan kewangan, kesihatan sehingga ke sektor awam,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas mengenai kepesatan pelaburan antarabangsa dalam pusat data dan infrastruktur digital, beliau berkata, Malaysia perlu kekal terbuka kepada modal serta teknologi luar, namun wawasan negara juga mesti ditingkatkan seiring tempoh kemerdekaan.

“Dalam setiap gelombang pelaburan baharu, kita perlu bertanya apakah keupayaan yang akan tinggal di negara ini. Adakah kita hanya membina infrastruktur, atau kita turut membina jurutera, usahawan dan syarikat teknologi tempatan?

“Sebab itu pemindahan teknologi dan pengetahuan amat kritikal. Objektifnya bukan sekadar membawa teknologi masuk atau mewujudkan kebergantungan jangka panjang, tetapi melokalisasikan teknologi dan meningkatkan kemahiran tenaga kerja tempatan,” katanya. 

Katanya, usaha membawa masuk teknologi global dan membina keupayaan tempatan tidak seharusnya bergerak secara berasingan.

“Kepimpinan berkesan adalah apabila kita membuka pintu kepada dunia dan memastikan Malaysia membawa pulang pengetahuan, keupayaan serta nilai ekonomi yang nyata,” katanya.

Menyentuh kesediaan syarikat tempatan khususnya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), beliau berkata, golongan itu tidak boleh melihat AI sebagai domain eksklusif milik korporat besar semata-mata.

“Kesedaran mengenai AI sudah tinggi, tetapi kesedaran tidak sama dengan transformasi. Menggunakan AI generatif untuk menulis atau mencari maklumat hanyalah permulaan, transformasi sebenar berlaku apabila data dan automasi diintegrasikan ke dalam aliran kerja.

“PKS boleh bermula dengan satu masalah perniagaan yang jelas, membuktikan pulangan pelaburan (ROI) dan kemudian mengembangkannya. Teknologi mesti membantu syarikat menjana wang, jimat kos dan bersaing, jika tidak ia hanya menjadi kos bebanan,” katanya.

Tambah beliau, pengurusan tertinggi syarikat tidak perlu menjadi jurutera AI, tetapi perlu mempunyai keberanian untuk membawa organisasi berubah seiring perkembangan industri.

Mengenai impak terhadap pasaran kerja tempatan, fokus utama negara adalah memastikan rakyat Malaysia menjadi lebih bernilai berikutan kehadiran AI dan bukannya berasa terancam.

“Persoalannya bukan AI akan mengambil pekerjaan siapa, tetapi bagaimana ia menjadikan juruteknik, jurutera dan eksekutif bekerja dengan lebih cekap dan membuat keputusan lebih baik menggunakan data.

“Generasi muda memerlukan gabungan penguasaan teknikal, literasi AI, komunikasi bahasa Inggeris, pemikiran kritikal dan pendedahan industri. Kita bukan sekadar menyediakan mereka untuk mendapatkan pekerjaan, tetapi untuk bersaing dan memimpin,” tambahnya. 

Ujarnya, menjadi tanggungjawab generasi hari ini untuk memastikan anak muda tempatan mempunyai keyakinan untuk duduk semeja dengan bakat terbaik dari Amerika Syarikat, China, Singapura mahupun Eropah.

“Pembinaan negara bukan sahaja mengenai apa yang kita bina hari ini, tetapi siapa yang kita sediakan untuk memimpin esok hari,” katanya.

Bagi mengelakkan Malaysia sekadar menjadi pengguna pasif teknologi luar, beliau menggesa pembentukan ekosistem kukuh yang menghubungkan universiti, industri, badan piawaian seperti SIRIM serta penyedia modal.

“Kita perlu melihat syarikat Malaysia bergerak daripada pengguna kepada pengintegrasi, pembangun dan akhirnya pengeksport teknologi. Malaysia sudah membuktikan keupayaan dalam sektor semikonduktor dan pembuatan, kini kita perlu melakukan perkara sama dalam AI.

“Syarikat tempatan yang menguntungkan dan kukuh mampu menggaji lebih ramai rakyat, melabur dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta membawa keupayaan Malaysia ke pasaran global,” katanya.

Menjelang tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, beliau optimis Malaysia mampu menjadi hab AI gunaan dan penyelesaian digital dipercayai di ASEAN dengan memanfaatkan kedudukan strategiknya sebagai jambatan antara Timur dan Barat.

“Merdeka memberi kita hak menentukan masa depan sendiri dan dalam dunia teknologi, keupayaan itu bergantung kepada ilmu dan bakat yang kita bina sendiri.

“Kita memasuki era AI ini bukan dengan rasa takut, tetapi dengan keyakinan dan kesungguhan untuk berlari menuju kemajuan bangsa dan negara,” katanya.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×