KUALA LUMPUR, 29 Mei – Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, luahan bekas pemain ragbi negara, Marc Le dalam bentuk surat aduan kepada kesatuan berkenaan adalah atas permintaannya sendiri.
Ia susulan pemain berusia 32 tahun itu bersemuka dengannya bagi menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap barisan kejurulatihan di bawah pimpinan ketua jurulatih, Lee Nyuk Fah sehingga mendorongnya mengundurkan diri daripada mewakili Malaysia pada Kejuaraan Ragbi Asia (ARC) 2018, bulan lepas.
Shahrul berkata, segala diluahkan Marc itu adalah antara kandungan penting yang kini sedang dibincangkan dalam proses post-mortem KRM mengenai prestasi skuad negara pada aksi sulung di pentas ARC sebelum ia dibentang pada mesyuarat exco badan induk itu, awal Jun ini.
“Sebenarnya empat hari sebelum aksi pembukaan berdepan Korea Selatan, dia (Marc) dan beberapa pemain ada turun ke Bagan Datuk untuk klinik ragbi di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) (C) Yong Seng pada sebelah siang.
“Dan pada malam itulah dia berjumpa dengan saya meluahkan perasaannya serta rasa tidak puas hati terhadap barisan kejurulatihan dan pengurusan sebelum meminta persetujuan saya untuk meninggalkan pasukan negara. Saya cuba pujuk dia untuk kekal tetapi itu keputusan muktamadnya.
“Saya terima keputusannya dan saya sendiri minta dia dokumentasikan segala luahannya pada malam itu sebab saya tidak mampu untuk ingat setiap patah perkataan diluahkan. Luahannya itu sebahagian daripada input post-mortem yang sedang dilakukan KRM sekarang sebelum ia diperhalusi Jawatankuasa Prestasi Tinggi KRM,” katanya di sini, hari ini.
Shahrul, bagaimanapun, tidak menyangka surat aduan bertarikh 24 Mei lepas itu tular dan mendapat perhatian dua akhbar berbahasa Inggeris tempatan semalam sehingga memberi tanggapan buruk terhadap badan induk ragbi negara itu.
Lebih mendukacitakan, dalam dua laporan tersebut tidak menyatakan bahawa surat aduan Marc itu ditulis atas permintaan Shahrul selepas pertemuan mereka di Bagan Datuk tempoh hari.
“Surat itu bukan ditulis untuk memburukkan KRM, malah isi kandungannya ada memuji usaha keras KRM tetapi yang saya tidak tahu macam mana ia boleh tular. Apa yang terjadi ini saya terima dengan hati terbuka dan ingin menegaskan bahawa KRM memandang serius isu dibangkitkan Marc dalam aduannya,” kata beliau.
Antara isu dibangkitkan Marc adalah etika dan empat prinsip utama – profesionalisme, kebersamaan, akauntabiliti dan hormat – yang sering tidak dipatuhi barisan kejurulatihan skuad ragbi 15 sebelah negara.
Menurut Marc, contoh negatif itu mengakibatkan pemain sukar untuk menerima dan mempercayai apa yang cuba diterapkan jurulatih dalam diri pemain sepanjang tempoh tujuh bulan persiapan menghadapi ARC 2018.
Selain itu, Marc turut mempersoal perbezaan gaji RM500 lebih rendah yang diterima pemain tempatan berbanding pemain naturalisasi negara yang diberikan bayaran sebanyak RM2,500 sebulan.
Dalam pada itu, walaupun senada dengan beberapa isi kandungan surat aduan tersebut, Shahrul bagaimanapun menegaskan dakwaan itu perlu disiasat terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan diambil. – BERNAMA










