KUANTAN 22 Mei – Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mendedahkan sebuah syarikat yang beroperasi di kawasan Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) di sini didapati aktif mencuri bekalan air sejak Januari lalu.
Pengarah Unit Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Pengguna (Bahagian Pengurusan Korporat) SPAN, Mohd. Fazil Ismail berkata, setelah menerima aduan pada Mac lepas, pihaknya memotong bekalan air tersebut pada 16 Mei lalu.
“Serbuan pertama dibuat pada 14 Mac dan kami diarahkan untuk menghentikan serbuan kerana Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) semakin hampir tetapi sehingga petang semalam, kami dimaklumkan aktiviti (pencurian air) ini masih berjalan.
“Nilai anggaran kerugian juga melebihi RM500,000 dengan kegunaan air sebanyak 327,000 meter padu sejak Januari hingga Mac lalu,” katanya kepada pemberita selepas lawatan media ke tapak kilang berkenaan di Gebeng hari ini.
Yang hadir sama Ketua Wilayah SPAN, Arni Shahrina Shaharum dan Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh.
Mohd. Fazil berkata, syarikat itu tidak mengikut spesifikasi pemasangan paip yang perlu dipatuhi iaitu paip berukuran 600 milimeter (mm) dengan membuat penyambungan dua paip berukuran 300mm terus kepada injap untuk aktiviti mereka.
“Kilang tersebut perlu memohon untuk memasang bekalan air sementara dan mereka perlu membayar wang sumbangan bekalan air kepada Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) sebanyak RM6 juta yang tidak dibuat oleh mereka.
“Kami akan membuka balik penyambungan paip meter haram dan membuat pemasangan yang baharu selepas permohonan mereka untuk memasang bekalan air sementara diluluskan. Kami akan meneruskan dengan tindakan mahkamah untuk prosedur ini,” katanya.
Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam kenyataannya menerusi aplikasi WhatsApp berkata, syarikat tersebut gagal mematuhi peraturan dan aku janji yang dibuat setelah diberikan tempoh oleh SPAN selepas didapati mencuri air pada 15 Mac lalu.
“Kerajaan negeri akan mengadakan pertemuan dengan SPAN dan syarikat tersebut. Kita akan membuat pertimbangan sewajarnya berdasarkan kepada peraturan dan undang-undang ditetapkan,” katanya.










