MELAKA 14 Mei – Ketua Menteri, Adly Zahari menjelaskan beliau berpegang kepada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) dan tidak pernah berbangkit isu mengaitkan dirinya dengan fahaman Syiah.
Menurutnya yang dituduh sebagai pengikut fahaman Syiah, sepatutnya perkara tersebut tidak timbul dan berharap supaya isu itu tidak akan dibangkitkan lagi pada masa hadapan.
“Saya rasa perkara ini tidak berbangkit kerana saya berfahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah dan perkara itu tidak perlu dipanjangkan lagi,” katanya ringkas ketika menjawab soalan wartawan.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhbar ketika menjalankan tugas-tugas sebagai Ketua Menteri pada hari pertamanya di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini sebentar tadi.
Isu dakwaan beliau sebagai pengikut berfahaman Syiah ditimbulkan pihak tertentu dan menjadi tular di laman sosial Facebook selepas dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka ke-11 baru-baru ini. – UTUSAN ONLINE










