DALAM dunia ini tidak semua orang suka meminta-minta. Tidak semua yang sanggup menebalkan muka ataupun dengan muka selamba meminta untuk mendapatkan apa yang diinginkan dalam hidup. Biasanya, wanglah. Apa lagi.
Orang yang tidak pandai meminta-minta ini selalunya melalui jalan yang agak sukar terutama yang bergaji rendah atau kerja sendiri. Pun begitu mereka ini boleh dikatakan dipandang tinggi.
Mereka lebih dihormati dalam erti kata sebenarnya apabila berusaha sendiri dan bekerja keras untuk mendapatkan wang. Bukan hanya tahu meminta walaupun ada yang berkata meminta itu pun satu kerja juga.
Minggu lalu sewaktu keluar daripada kereta untuk membeli juadah berbuka puasa di Seksyen 9, Shah Alam, tiba-tiba saya disapa oleh seorang kanak-kanak perempuan berketurunan India yang berpakaian uniform sekolah rendah. Dia bertanyakan sama ada saya mahu mencuci kereta. Bahasanya teratur dan penuh adab. Saya terkejut, budak kecil ini nak basuh keretakah?
Oh! Bukan. Tidak lama selepas itu di belakangnya ada seorang lelaki separuh usia. Dia kelihatan lelah menjinjing baldi dalam bahang kepanasan petang dengan tuala disangkut di bahunya. Bapakah? Tanya saya pada budak itu. Dia mengangguk.
Lelaki itu nampak hampa apabila saya menggelengkan kepala tanda tidak mahu kereta saya dicuci.
Namun, apabila melihat kehampaan di wajahnya dan budak bertocang dua itu menundukkan kepalanya memandang jalan, saya terus bersetuju.
Dengan pantas dia menjalankan kerja sementara saya pergi membeli juadah makanan berhampiran. Sampai semula ke kereta, saya lihat budak itu sedang memerhatikan bapanya membuat kerja. Dia duduk di tepi longkang. Di tangannya ada buku sekolah.
Nampak saja saya tiba, budak itu terus menyuruh bapanya cepat dalam bahasa Melayu. Saya kata, tak apalah. Saya boleh tunggu. Budak itu murid Tahun 4. Berbual pendek dengannya, dia memberitahu bapanya baru dibuang kerja.
Bila selesai semuanya, saya tanya berapa? Berapa sajalah kata ayahnya. Dia memberitahu RM1 pun dia ambil. Dapat satu pelanggan pun dia sudah cukup gembira. Setelah memberi wang mereka berlalu dan mencuba lagi bertanya pada orang yang lalu lalang.
Situasi itu jauh berbeza daripada seorang lelaki muda yang saya temui di jalan itu juga beberapa minggu sebelum itu. Lelaki itu tiba-tiba datang kepada saya bertanyakan, ada duit RM50 tak? Van syarikat yang dipandunya rosak. Katanya, dia bekerja di sebuah syarikat pengangkutan awam. Bila sebut saja nama syarikat itu, semua orang tahu. Syarikat yang besar.
Dia menunjukkan tag pekerja di lehernya dan selepas itu cepat-cepat dia menariknya semula apabila saya beria-ia mahu melihat nama dan syarikatnya bekerja. Dia bercakap dengan laju tanpa memandang muka saya.
Kalau rosak mana vannya? Dan kenapa tidak telefon majikan saja hantar bantuan? Di sakunya ada telefon bimbit. Syarikat pengangkutan awam itu besar. Pelik, takkan pekerja sendiri kena keluar duit baiki van?
Macam-macam soalan menerjah dalam kepala. Bila saya sarankan dia menghubungi majikannya, dia diam. Saya katakan, jika telefon bimbitnya tidak boleh membuat panggilan, saya boleh tolong hubungi menggunakan telefon pintar saya. Tetapi dia terus meninggikan suara. Tak nak tolong, sudah, katanya dan terus berlalu.
Hendak menipu orang perempuankah? Dalam hati saya berkata-kata kerana ada beberapa lelaki lalu di situ tetapi dia tidak meminta tolong kepada mereka. Kalau orang lelaki mesti susah dipengaruhi dengan cerita-cerita begitu.
Mungkin dia mahu mendapatkan wang dengan cara mudah iaitu meminta-minta dan bertambah buruk, minta dengan cara menipu.
Semua orang mahu dirinya dihormati. Tetapi pada masa sama ada yang mengabaikan soal adab dan harga diri. Ada yang sudah sebati dan hidup selesa dengan cara meminta-minta. Bukan saja wang, semua benda pun kalau boleh mahu diperoleh dengan percuma.
Yang menghairankan, yang suka meminta-minta ini bukan hidupnya susah pun. Tetapi bermentaliti kalau boleh dapat percuma, kenapa perlu beli.
Sedangkan yang percuma itu sepatutnya diberi kepada orang yang susah. Ini membuatkan orang susah bertambah susah dan yang senang pula bertambah sihat badannya kerana tidak berbuat apa-apa. Ini yang tak betulnya.










