Kerajaan jangan hukum rakyat - Utusan Malaysia

Kerajaan jangan hukum rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 13 Mei – Kerajaan Pakatan Harapan tidak harus menghukum rakyat hanya kerana mereka memilih wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Thomas Fann
Thomas Fann

Pengerusi Engage, Thomas Fann berkata, tindakan tersebut tidak sewajarnya dilakukan ha­nya disebabkan perbezaan parti politik dan pilihan pengundi perlu dihormati.

“Rakyat ada hak untuk me­ngundi BN, kami akan pertahankan hak mereka dalam hal ini. Beliau (Menteri Besar yang baharu) perlu menghormati pengundi dan wakil rakyat BN tidak seharusnya dihukum hanya kerana rakyat mengundi BN.

“Kerajaan baharu Jo­hor harus menjadi se­perti kerajaan Selangor yang tetap memberikan peruntukan kepada Ahli Dewan Undangan Ne­geri (ADUN) BN di ne­geri itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas melakukan demonstrasi aman di Jalan Maju, di sini hari ini.

Semalam, Datuk Osman Sapian dalam sidang akhbar selepas mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor Ke-16 memberitahu, tiada peruntukan kecil pembangunan akan diberikan kepada pembangkang di negeri ini kerana dana itu adalah hak kerajaan yang memerintah.

Thomas berkata, kerajaan Selangor bukan sahaja memberikan peruntukan kepada kawasan pembangkang tetapi memberikan elaun kepada ADUN BN malah menyediakan pejabat supaya dapat memberikan khidmat kepada pengundi mereka.

Beliau tidak ma­hu kerajaan ne­geri yang baharu angkuh dan mengamalkan politik membalas dendam dengan rakyat yang tidak bersalah menjadi mangsanya.

Jelasnya, politik tidak matang seperti itu hanya akan terus memecahbelahkan rakyat dan sepatutnya selepas pilihan raya umum berakhir semuanya kembali bersatu.

“Kita boleh lihat rakyat Johor yang gembira dan juga bersedih dengan keputusan PRU-14. Jadi kita perlu satukan mereka semula dan rakyat mahukan kerajaan baharu menyelesaikan isu-isu sebelum ini walaupun kita tahu bukan satu perkara yang mudah.

“Kita harus faham, sistem yang ada sekarang sudah berusia lebih 60 tahun dan rakyat tidak boleh menjangkakan perubahan boleh berlaku dalam satu malam sahaja,” ujarnya.

Pihaknya yang tidak bersetuju dengan kenyataan Menteri Besar baharu itu akan menghantar memorandum kepada Osman sebagai peringatan supaya tidak menghukum rakyat serta menunaikan semua janji dalam manifesto mereka.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dikendalikannya, kata Thomas, akan memantau perkembangan dan pelaksanaan manifesto mereka dalam tempoh 100 hari seperti yang dijanjikan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×