PUTRAJAYA 22 Mei – Kementerian Kewangan telah menanggung pembayaran hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebanyak RM6.98 bilion sejak April 2017.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, jumlah berkenaan adalah termasuk pembayaran untuk perjanjian penyelesaian dengan International Petroleum Investment Company (IPIC) yang berjumlah RM5.05 bilion.
“Perkara ini mengesahkan syak wasangka umum mengenai 1MDB telah mengaburi rakyat dengan mendakwa mereka telah dibayar menerusi eksesais rasionalisasi yang berjaya. Sedangkan, Kementerian Kewangan yang selama ini menyelamatkan 1MDB.
“Lebih buruk, senarai pembayaran terkini hanya membabitkan faedah, bayaran kupon dan pendahuluan daripada IPIC. Mereka belum lagi mengambil kira akaun hutang bilion-bilion ringgit yang akan matang bermula tahun 2022,” katanya dalam sidang akhbar pertamanya selepas memulakan tugas rasmi di Kementerian Kewangan di sini hari ini.
Dalam pada itu, kata beliau, selain daripada faedah pinjaman berjumlah RM143.75 juta yang perlu dijelaskan pada 30 Mei ini, 1MDB juga perlu menyelesaikan faedah pinjaman berjumlah RM810.21 juta bagi bulan antara September hingga November ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE











