Kekuatan daripada mata kasar hanyalah ilusi - Utusan Malaysia

Kekuatan daripada mata kasar hanyalah ilusi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPUTUSAN Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang baru sahaja berlalu mungkin sedikit mengejutkan.

Ia mengejutkan bukan kerana gabungan Pakatan Harapan berjaya memenangi pilihan raya, tetapi Barisan Nasional yang menjadi parti utama negara sejak merdeka mengalami kekalahan besar.

Walaupun ada juga tsunami politik dalam beberapa siri pilihan raya sebelum ini, tetapi ia tidaklah menyebabkan Barisan Nasional tergugat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ia sekadar menghilangkan beberapa negeri sahaja.

Jika dilihat dengan jumlah bendera yang dipasang di seluruh negara serta pemasangan papan iklan di sepanjang lebuh raya, sepertinya Barisan Nasional akan menang besar.

Kempen-kempen yang dilakukan juga luar biasa.

Di beberapa tempat, terdapat acara konsert dan cabutan bertuah dalam siri ceramah manifestonya.

Sepertinya, Barisan Nasional akan terus mengekalkan penguasaannya.

Bagaimanapun, dengan kekalahan Barisan Nasional seolah-olahnya apa yang dilihat sebagai kekuatan oleh mata kasar kita hanyalah sekadar ilusi.

Hakikat yang berlaku, ia mungkin sebaliknya.

Sebenarnya, dalam psikologi inilah yang dinamakan sebagai groupthink atau pemikiran kelompok.

Pemikiran kelompok ini berlaku apabila sesuatu kumpulan percaya bahawa walau apa pun terjadi, ia akan tetap kekal menang.

Konsep yang dipopularkan oleh Prof. Irving Janis pada tahun 1972 ini kelihatannya masih relevan hingga ke hari ini.

Walaupun konsep ini asalnya merujuk kepada beberapa siri kegagalan tentera Amerika Syarikat di Cuba, Perang Vietnam dan peristiwa serangan tentera Jepun di Pearl Harbour, ia sebenarnya merujuk bagaimana banyak daripada peristiwa kejatuhan sesebuah organisasi sebenarnya bermula apabila kita merasa terlalu kuat.

 

Kekuatan

Janis telah mengemukakan beberapa simptom sebagai tanda-tanda bahawa sesuatu kumpulan sedang berhadapan dengan isu pemikiran kelompok ini.

Antaranya ialah simptom terlebih jangka kekuatan kumpulan, minda tertutup dan tekanan untuk kebersamaan.

Terlebih jangka kekuatan kumpulan ini juga biasanya dikaitkan dengan ‘ilusi kekebalan’ menyebabkan ahli-ahli merasa tidak ada apa pun yang akan menggugat mereka.

Dengan keyakinan yang melampau ini, dalam banyak kes, mereka berani mengambil sesuatu tindakan dengan mengabaikan risiko yang ada.

Ini kerana, dalam banyak tindakan, adalah dirasakan bahawa kumpulan tadi ada kemampuan untuk mengalahkan pihak lawan dengan mudah.

Adakah ini bermakna tidak ada seorang pun yang tahu akan wujudnya ancaman yang mungkin memberi musibah?

Kes kekalahan Amerika Syarikat dalam tragedi Bay of Pigs di Cuba, walaupun terdapat kepercayaan bahawa Presiden Kennedy mungkin tersilap jangka kekuatan sebenar Cuba, tetapi mereka yang tahu mengenainya hanya sekadar mendiamkan diri.

Mendiamkan diri ini sebenarnya adalah sebahagian daripada self-censorship yang sering berlaku apabila ada ahli merasakan sekiranya mereka bersuara, mereka mungkin menongkah arus suara majoriti.

Semakin lama, apabila simptom pemikiran kelompok ini kian menguasai sesuatu organisasi, sebarang suara yang dianggap bertentangan dengan idea kumpulan akan dianggap sebagai bodoh atau penentang.

Pandangan yang berbeza akan dirasionalisasikan sesuai dengan kehendak pemimpin atau apa yang diharapkan oleh ahli terbanyak.

Peringkat terakhir, apabila kumpulan mula merasa mereka sangat kebal, kumpulan akan melakukan tekanan kepada setiap ahli untuk mengikut apa sahaja arahan yang dikeluarkan oleh organisasi.

Diam dianggap sebagai persetujuan.

Sebaliknya, mereka yang menentang akan dianggap sebagai perosak yang wajar disingkirkan.

Malah kumpulan juga akan membentuk peraturan penyampaian maklumatnya sendiri.

Ada maklumat yang mungkin baik, tetapi sekiranya bertentangan dengan hasrat organisasi atau kumpulan mungkin diabaikan begitu sahaja.

Sedar atau tidak, banyak daripada tanda-tanda yang dibincangkan oleh Janis ini sebenarnya ada dalam Barisan Nasional.

Kita dapati ada rungutan tertentu yang diketengahkan oleh rakyat yang mungkin tidak sempat untuk diatasi kerana ia telah terlebih dahulu disaring dan dirasionalisasi oleh pihak tertentu.

 

Serangan

Adakalanya kritikan-kritikan oleh ahli dianggap sebagai serangan yang cuba menghancurkan parti dan ada yang disingkirkan kerana tindakan tadi.

Menjadi lebih parah, apabila sebahagian ahli yang lain bersetuju dengan tindakan tadi.

Semua ini sebenarnya adalah simptom pemikiran kelompok yang muncul sejak sekian lama.

Ia adalah proses semula jadi yang berlaku untuk semua manusia yang terlibat dalam organisasi.

Untuk seketika ini, Pakatan Harapan yang baru sahaja mentadbir negara mungkin tidak lagi membentuk proses pemikiran kelompok ini.

Bagaimanapun, memandangkan ia merupakan proses psikologi manusia dalam kumpulan, akan sampai waktunya nanti simptom pemikiran kumpulan akan menjangkiti parti yang memerintah.

Pada waktu itu, ia akan digantikan pula parti yang baharu. Hanya dengan memberikan ruang kepada kritikan, ia mungkin memanjangkan hayat sesebuah organisasi.

*kolumnis psiko dr awang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN