Kadar agihan Dana Raya dikecilkan - Utusan Malaysia

Kadar agihan Dana Raya dikecilkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS 30 Mei- Kerajaan Pas akan mengecilkan kadar agihan Dana Raya pada tahun ini kemungkinan kepada RM250 seorang bagi membolehkan  lebih ramai rakyat yang berkelayakan  tetapi tercicir berpeluang menerimanya berdasarkan peruntukan sedia ada.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pendekatan itu terpaksa diambil sering dengan hasrat kerajaan negeri untuk membolehkan seramai mungkin golongan sasar menerima manfaat dengan membuka semula permohonan bagi dana itu.

“Apabila mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri, kita mendapati terdapat beberapa segmen dalam masyarakat masih tertinggal (tercicir) sebagai penerima sedangkan pada masa sama peruntukan untuk itu telah dibajetkan tahun lalu.

“Oleh itu, kerajaan negeri berpendapat lebih baik kita meramaikan penerima dengan mengecilkan saiz jumlah pembayaran supaya masyarakat yang telah menerima  masing-masing dapat berkongsi dengan penerima-penerima lain yang tercicir,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Kasih Ramadan Univerisiti Malaysia Terengganu (UMT) sempena Majlis Iftar Perdana di Pusat Islam Sultan Mahmud UMT, petang semalam.

Yang turut hadir, Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr.Nor Aieni Mokhtar.

Dalam majlis berkenaan, Dr. Ahmad Samsuri turut menyampaikan bantuan  pakaian hari raya kepada anak-anak istimewa dan berbuka puasa bersama mahasiswa universiti tersebut.

Dr. Ahmad Samsuri bagaimanapun tidak memaklumkan berapa ramai jumlah penerima dan peruntukan yang bakal dibelanjakan kerajaan negeri di bawah pentadbirannya pada tahun ini memandangkan permohonannnya masih
lagi dibuka.

Pada tahun lalu difahamkan, seramai 239,323 pemohon berjaya melepasi syarat-syarat yang ditetapkan dengan bayaran membabitkan RM88.7 juta.

Mereka menerima bayaran antara RM300 dan RM400 bergantung kepada kategori iaitu  berpendapatan rendah, orang kurang upaya (OKU), ibu atau bapa tunggal dan warga emas.

Jumlah penerima dijangka melonjak tahun ini setelah awalnya kerajaan negeri di bawah  Barisan Nasional turut melonggarkan syarat penerima iaitu yang berpendapatan RM3,000 ke bawah selain dana raya khusus buat seluruh warga anggota keselamatan di negeri ini sebagai  penghargaan buat mereka.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN